Abdul Razak Ismail

KUALA LUMPUR – Beberapa bekas kakitangan Universiti Selangor (UNISEL) yang telah menamatkan perkhidmatan mereka mendakwa dinafikan hak faedah persaraan setelah bersara daripada institut pengajian tinggi milik Kerajaan Negeri Selangor itu.

Setiausaha Penaja Parti Hijau Malaysia (PHM), Abdul Razak Ismail berkata, pesara UNISEL itu merupakan kakitangan termasuk yang memegang tinggi telah berkhidmat dengan universiti itu sejak awal penubuhannya.

“Lebih 30 pesara wajib dinafikan hak faedah persaraan tersebut apabila skim berkenaan dihapuskan melalui makluman pekeliling yang ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman pada 2019.

“Pekeliling berkenaan menjelaskan tentang keputusan pembatalan hak persaraan tersebut oleh Lembaga Pengarah sebuah syarikat anak milik Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) yang menguruskan perniagaan Unisel, Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB).

“Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat berkenaan ialah Menteri Besar Selangor sendiri, Datuk Seri Amiruddin Shaari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Surat Pekeliling Universiti Selangor yang didakwa membatalkan faedah persaraan.

Abdul Razak mendedahkan, pengurusan UNISEL telah memberikan banyak alasan yang tidak munasabah dan berat sebelah apabila menjelaskan mengenai pembatalan skim pembayaran faedah persaraan.

“Pembatalan dilakukan kerana kajian mereka mendapati keistimewaan faedah persaraan ini tidak lagi diamalkan dalam organisasi yang mengamalkan pencaruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Mereka mendakwa Unisel tidak mempunyai tabungan khas untuk tujuan pendanaan faedah persaraan dan jika diteruskan, prestasi kewangan Unisel akan terjejas teruk pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, setakat ini 16 pesara sudah memulakan proses tuntutan di mahkamah termasuk tindakan menyaman universiti awam Selangor itu.

“Sebanyak tujuh notis penyampaian writ saman dikeluarkan kepada pengurusan Unisel menerusi firma guaman Tetuan Noryani Ar Rais.

“Jumlah ini tidak termasuk dengan dua saman yang sudah difailkan beberapa tahun sebelum ini oleh mantan Timbalan Naib Canselor dan pensyarah kanan Fakulti Perniagaan Unisel.

“Salah satunya sudah pun menyaksikan kekalahan Unisel sebagai defendan manakala satu lagi kes berkenaan masih dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Selain itu, Abdul Razak juga memberitahu, pesara terbabit yang dikenali sebagai Gerakan Menuntut Hak Persaraan UNISEL memaklumkan sudah menghantar surat serahan sendiri ke pejabat Menteri Besar Selangor pada 10 Februari lalui.

“Surat itu memohon bertemu dengan Menteri Besar memandangkan beliau merupakan Pengerusi UNISEL.

“Namun sehingga hari ini gerakan berkenaan hampa serta berdukacita kerana tidak menerima sebarang maklum balas positif daripada pejabat Menteri Besar Selangor berkenaan permohonan mereka,” katanya.

Abdul Razak juga dimaklumkan kumpulan itu banyak kali cuba mendekati pengurusan UNISEL untuk menyuarakan isu ketidakpuasan hati kakitangan dan pesara namun usaha ini tidak diendahkan.

“Para pesara ini sebenarnya bersuara agar dapat mengajak pengurusan UNISEL untuk ke meja rundingan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik namun kecewa.

“Malah mereka pula dituduh sebagai tidak mengenang budi dan memburukkan nama universiti. Tidak hairanlah apabila beberapa pesara memulakan tindakan proses mahkamah untuk mendapatkan kembali hak keistimewaan itu,” katanya.

Katanya lagi, keputusan pembatalan pemberian faedah persaraan ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor tidak peka dan prihatin terhadap kebajikan pesara akademik dan pentadbiran di universiti itu.

“PHM berpandangan menjadi kelaziman untuk mana-mana universiti di Malaysia memberikan suatu bentuk sagu hati persaraan dalam bentuk gratuiti kepada para kakitangan mereka yang telah bersara.

“Ia sebagai satu bentuk penghargaan mereka sebagai tenaga pentadbir dan pengajar di universiti tersebut di dalam mendidik generasi akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette