KLANG – Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang menyiapkan laporan penuh mengenai dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.
Menterinya, V. Sivakumar berkata, ketika ini pihaknya sedang meneliti dakwaan tersebut sambil memberi jaminan perkara itu akan ditangani secepat mungkin.
“Kita akan cuba secepat mungkin, kita sedang bekerja keras untuk menyiapkan laporan lengkap mengenainya (elaun pelajar praktikal),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menziarahi dua pekerja yang mengalami keliatan hingga tidak mampu bekerja sambil menyerahkan faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Hadir sama Ahli Parlimen Klang, V.Ganabatirau dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, beliau sedang menunggu laporan berkaitan dakwaan terdapat pelajar pelatih yang tidak dibayar elaun ketika menjalani tempoh latihan industri.
Beliau berkata laporan mengenai perkara itu pada ketika ini sedang diteliti KSM.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata, ketika ini pihaknya sedang melakukan beberapa kajian mengenai cadangan itu sebelum ia dikemukakan untuk menjadi akta khususnya.
“Kalau perkara itu memang praktikal dan perlu dibuat, kemudian kita akan kemukakan formula.
“Kita akan buat secepat mungkin, kita sedang buat beberapa kajian sekarang di bawah KSM,” katanya.
Rabu lalu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapa Sakmud berkata, sidang Dewan Rakyat setakat ini belum ada sebarang akta khusus untuk mewajibkan bayaran elaun kepada anak muda yang menjalani latihan industri di kementerian, agensi atau jabatan kerajaan.
Beliau bagaimanapun berkata, KSM akan memperhalusi dan membincangkan perkara itu.
Sementara itu, Sivakumar memberitahu pihaknya juga sedang membuat kajian untuk mewujudkan akta baharu bagi melindungi pekerja dalam industri ekonomi gig yang kini mencecah lebih 1 juta orang.
“Sebelum kita sampai ke tahap itu (wujud Akta) kita sekurang-kurangya perlu ada satu garis panduan atau satu dasar untuk melindungi pekerja gig ekonomi.
“Kita pun sedang mengkaji tentang gaji progresif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette