Raja Nushirwan Zainal Abidin

KUALA LUMPUR – Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa pada hari ini.

Pelantikan Raja Nushirwan, 53 tahun diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Abertay, Dundee, Scotland, Raja Nushirwan memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 21 Mac 1994 dan ditempatkan di Kementerian Luar Negeri.

Berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam dengan pengkhususan kepada hubungan antarabangsa dan pernah ditempatkan di pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Sweden dan Singapura.

Jawatan terakhir beliau adalah sebagai Duta Besar di Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, China.

“Semoga pelantikan beliau sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Negara akan memacu kecemerlangan Majlis Keselamatan Negara dalam menerajui penggubalan dasar dan pengurusan keselamatan Negara secara
komprehensif, bersepadu dan berkesan dalam memastikan negara kekal aman, sejahtera serta berdaulat, tambah Mohd Zuki dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette