kejatuhan ringgit nilai
Rafizi Ramli

KEJATUHAN nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dan dolar Singapura ke paras terendah dalam tempoh sedekad amat menggusarkan rakyat.

Menurut kadar tukaran semasa yang disiarkan dalam laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM), nilai dolar AS berbanding ringgit adalah RM4.60 manakala dolar Singapura mencatatkan nilai RM3.40.

Kebimbangan rakyat khususnya komuniti perniagaan berhubung situasi ini ada asasnya kerana ia menyebabkan kos barangan import semakin tinggi sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna.

Lebih mengecewakan rakyat apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli seperti dilaporkan media baru-baru ini menyatakan bahawa kejatuhan nilai ringgit turut membawa kebaikan apabila pendapatan negara melalui hasil jualan minyak dalam dolar AS meningkat.

Rakyat biasa sukar memahami bagaimana perkara itu boleh membantu mereka menangani kesan kejatuhan nilai ringgit terutamanya untuk membeli bahan makanan seperti gandum yang sudah tentunya diimport.

Walaupun makanan ruji rakyat Malaysia adalah beras, tepung gandum merupakan bahan utama yang digunakan untuk menghasilkan kuih-muih serta makanan lain seperti roti.

Kita semua maklum bahawa boleh dikatakan sangat sukar untuk mendapatkan bekalan tepung gandum bersubsidi pada harga RM1.35 sepaket satu kilogram ketika ini.

Kebanyakan tepung gandum di pasaran kini dijual pada harga RM3.80 ke atas bagi setiap paket 850 gram dan ia agak membebankan bagi golongan B40 dan M40.

Dengan penyusutan nilai ringgit, harga tepung gandum tidak bersubsidi dijangka naik lagi dan peniaga kuih-muih terpaksa memindahkan beban peningkatan kos bahan mentah kepada pembeli.

Harga kuih-muih sedia ada pun sememangnya agak tinggi tetapi para peniaga tidak mempunyai pilihan walaupun sedar tindakan menaikkan harga boleh menyebabkan mereka kehilangan pelanggan.

Selain tepung gandum, banyak lagi barangan pengguna yang menjadi keperluan rakyat seperti telefon pintar, komputer dan peralatannya, peralatan elektrik serta alat ganti kenderaan yang diimport dari luar negara.

Semua barangan tersebut akan menjadi lebih mahal dan boleh menyebabkan kita pening kepala apabila terpaksa membeli yang baharu setelah barangan yang ada tidak dapat lagi digunakan atau rosak.

Rakyat amat mendambakan kebijaksanaan Rafizi merangka formula baharu untuk memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan kembali nilai ringgit.

Netizen juga tidak lupa bahawa pada 3 Julai 2017 Rafizi pernah membuat siaran langsung dalam media sosial bagi mengkritik pentadbiran Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak apabila ringgit mencatatkan kadar tukaran RM4.21 berbanding dolar AS.

Sekarang, Rafizi berpeluang untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai formula yang jauh lebih baik daripada Najib untuk mengekang fenomena kejatuhan nilai ringgit.

Cuma, Rafizi perlu membuktikan keberkesanan formulanya secepat mungkin kerana rakyat semakin hilang sabar lebih-lebih lagi setelah dibebankan dengan hutang isi rumah yang bertambah ekoran kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini.

Jika formula Rafizi gagal, pengundi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka agak keberatan untuk memilih parti-parti yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang. – MalaysiaGazette

6 Komen

  1. Masalahnya inflasi susulan import makanan yang negara tanah subur sepatutnya banyak tanam sendiri malah negara-negara kecil padang pasir Qatar dan UAE pun tanam tumbuh makanan sendiri.

  2. 1 je nak cakap, rapizi ni raja formula taik kucing. pandai cakap saja. rapizi pun kaki belit lidah bercabang juga. tunggu la PRN nti tengok macam mana rakyat memilih

  3. FORMULA BARU RAFIZI RAMLI bila RM jatuh mendadak… RAKYAT PERLU BELI MATAWANG RM dan cairkan setelah habis penggal kerajaan PRU 15. tapi FORMULA rakyat kata jika RAFIZI RAMLI turun nilai RM akan naik. so cepatlah RAFIZI oii… Sayonara goodbye Zahid Hamidi after PRN 6 NEGERI

  4. kan menteri selalu cakap, kalau harga tepung naik, jangan makan kuih, makan benda lain.

  5. Kalaulah kejatuhan ringgit baik untuk negara, ada yang cadang supaya dibiarkan saja ianya terus jatuh merundum..dumm..dumm..dummm? Kah..kah..kah..

    B40.

  6. Formula terbaharu beliau, ringgit jatuh, kena ramai2 cuci longkang dan baiki jalan. Baru ekonomi stabil.

Comments are closed.