Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa semua pihak terutama kerajaan supaya melihat faktor yang menyumbang kepada naik turun nilai ringgit.

Ini kerana, kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang lain di rantau ini telah menyebabkan kesan negatif secara langsung dan tidak langsung yang perlu diambil kira, kata Ketuanya, Shahir Adnan.

Menurut beliau, kesan langsung kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos awalan pelaburan menjadi lebih kompetitif kepada pelabur asing kerana nilai matawang asing menjadi lebih tinggi berbanding nilai ringgit.

“Kedua, kesan langsung menyebabkan peningkatan kos pengeluaran kerana harga import bahan mentah yang tinggi akibat kejatuhan nilai ringgit Malaysia.

“Ketiga, kesan langsung kejatuhan nilai ringgit Malaysia menyebabkan hutang negara terus meningkat kerana disandarkan kepada nilai matawang asing seperti dolar Amerika dan Yen Jepun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, Kesan tidak langsung pula bakal menyaksikan pelbagai isu ekonomi akan berlaku dimana kejatuhan nilai ringgit bakal menyebabkan penutupan kilang, penstrukturan syarikat akibat pengurangan kos operasi syarikat dan penangguhan perancangan pelaburan baru atau pelaburan tambahan.

Ujarnya, pengangguran juga bakal meningkat akibat pengecilan tenaga kerja atau pemberhentian pekerja bagi sektor industri yang terkesan.

Tambah beliau, kejatuhan nilai Ringgit bakal memperlahankan pertumbuhan sektor-sektor lain seperti hartanah, peruncitan, pengangkutan dan industri sokongan lain.

Justeru katanya, DPIM menyarankan lima langkah untuk diambil bagi mengukuhkan nilai ringgit iaitu Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengurangkan aliran keluar matawang, elakkan menjual ringgit dan membeli matawang asing.

“Kedua, syarikat-syarikat digalakkan membawa pulang ringgit kembali ke Malaysia bagi meningkatkan permintaan ringgit.

“Ketiga, syarikat-syarikat perlu menilai dan menjadual semula bayaran luar negara bagi mengurangkan tekanan kepada ringgit.

“Keempat, meningkatkan eksport dengan mempercepatkan jualan dan pembayaran barangan dan perkhidmatan kita,” jelasnya.

Manakala yang terakhir katanya, perlu menggalakkan perbelanjaan dalam negara dan meningkatkan permintaan barangan tempatan.

Shahir Adnan

Terdahulu Shahir berkata, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menyifatkan penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini turut membawa kebaikan kepada negara.

Katanya, analisis yang dibuat Ahli Parlimen Pandan itu tertumpu kepada sektor minyak dan gas (Migas) di mana pendapatan negara akan meningkat ekoran harga minyak diniagakan dalam nilai dolar Amerika.

Tambanya, pandangan Rafizi itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk pemerhati politik, malah kenyataan itu bersifat terlalu umum kerana hanya melihat dari satu sudut pandang.

“Namun, impaknya harus diperhalusi dari semua sudut. Contohnya, kontraktor Migas tempatan terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan barangan import, yang kebanyakannya tiada dalam pasaran tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette