shaiful hazizy
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sebagai ketandusan modal untuk menarik publisiti politik murahan demi kepentingan peribadinya apabila mengeluarkan kenyataan mendakwa bahawa Kedah tidak mempunyai sempadan dengan Pulau Pinang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kenyataan Sanusi itu bukan hanya menunjukkan beliau tidak merujuk Perlembagaan, malah tidak mengiktiraf kedudukan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri di negara ini.

Katanya, kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat diperkukuhkan dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan pada 1957.

“Perkara tersebut dihuraikan oleh Perlembagaan Persekutuan secara khusus dalam Fasal 2, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, berhubung status perundangan negeri-negeri yang bernaung di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau harus memahami Perlembagaan Persekutuan dan menghormati pengiktirafan terhadap negeri jiran tersebut, biarpun pentadbiran negeri itu berbeza ideologi politik dengannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Shaiful Hazizy mendakwa, Sanusi mungkin cuba menyembunyikan kelemahan pentadbirannya yang tidak memberi apa-apa sumbangan dalam agenda pembangunan negeri serta prestasinya dihantui pelbagai masalah yang gagal diselesaikan.

Malah kata beliau, Sanusi sengaja mengalih perhatian rakyat Kedah dengan mencetus kontroversi terhadap kenyataan berunsur semangat kenegerian tersebut.

“Padahal, beliau sebenarnya “miskin idea” dan hanya meneruskan sahaja dasar-dasar dua kerajaan terdahulu.

“Misalnya, Sanusi mendakwa dirinya berjaya menarik pelabur, sedangkan beliau hanya “menuai” segala misi pelaburan yang dirintis dan diusahakan dua kerajaan terdahulu.

“Malah, projek-projek mega yang beliau sedang teruskan itu juga merupakan usaha-usaha dasar kerajaan negeri dan persekutuan terdahulu,” ujarnya.

Katanya, beliau berpandangan Sanusi hanya popular kerana kedudukan sebagai Menteri Besar Kedah yang bermulut lantang, namun, prestasinya sebagai Menteri Besar tidaklah teruji kerana diselamatkan oleh perancangan kerajaan terdahulu yang bersifat jangka panjang seperti lima projek Loji Rawatan Air, Lapangan Terbang Antarbangsa Kulim, Bandar Getah, Zon Ekonomi Sempadan Khas dan Taman Sains dan Teknologi Kedah.

“Soalan saya, apa tindakan seterusnya setelah beliau memperolehi kedapatan hasil dari tindakan JUPEM?

“Nak tuntut Pulau Pinang? Hakikatnya tindakan ini bakal mengundang “malapetaka” perlembagaan yang sangat besar serta tidak akan menguntungkan mana pihak.

“Harap-harapnya rakyat boleh menilai dan membezakan diantara tindakan “pemimpin sarkas politik” dengan pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette