Anggota polis membawa seorang lelaki ke mahkamah untuk didakwa selepas dipercayai membunuh dan membakar teman wanita hamil empat bulan di Mahkamah Majistret Sungai Besar, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 01 JUN 2023.

SUNGAI BESAR – Bekas penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berdepan dengan hukuman mati kerana didakwa membunuh dan membakar kekasihnya di Jalan Sungai Limau, di sini, 22 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Fakhrul Aiman Sajali, 20, hanya mengangguk faham setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas jurubahasa membacakan hukuman yang bakal dihadapinya jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Benteng Laut, Jalan Sungai Limau, di sini pada 22 Mei 2023 kira-kira jam 8.30 malam hingga 23 Mei 2023 jam 8 pagi.

Kes disiasat di bawah Sesyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Tertuduh yang memakai baju t-shirt berwarna kuning kelihatan tenang ketika beredar dari Mahkamah Majistret Sungai Besar.

Terdahulu tertuduh yang dibawa dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dengan diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Sungai Besar, kira-kira jam 8.55 pagi.

Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Muhammad Afiq Qiwamuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Anuar Kashim dan Muhammad Nor Tamrin.

Terdahulu peguam memohon agar pertuduhan yang dihadapi anak guamnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Malaya secepat mungkin.

Muhammad Nor berkata, ini kerana pihak pendakwaan kekurangan dokumen berkaitan untuk meneruskan perbicaraan kes bunuh itu.

Majistret kemudiannya menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan kes.

Semalam, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan tertuduh akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar, hari ini.

Tertuduh dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian.

Mangsa yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran adalah pasangan kekasih dan telah menjalin hubungan selama setahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast