PUTRAJAYA- Kerajaan Pusat tidak bersetuju dengan permintaan Kelantan yangmahukan peruntukan sebanyak RM8 bilion dalam usaha menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu boleh dikurangkan dan kerajaan perlu meneliti keperluan di negeri itu.
“Aspek pengurusan dan ketelusan perlu diambil kira namun tanggungjawab utama adalah untuk memastikan rakyat memperoleh kemudahan air,” katanya selepas majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur, di sini, hari ini.
Menurutnya, masalah air perlu mempunyai langkah awal dan kerajaan sedia memperuntukan dana untuk projek jangka sederhana dan panjang itu.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pasukan petugas khas diwujudkan bagi mencari penyelesaian isu air di Kelantan dan Sabah
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan Kelantan untuk membina pelan ekstensif penyimpanan air untuk menampung krisis.
“Berdasarkan penelitian kami, cadangan awal merangkumi 100 peratus penyimpanan air yang mana kami merasakan ia tidak diperlukan. Kami berpendapat bahawa angka dana itu (RM8 bilion) boleh diteliti dan dikurangkan lagi.
“Sehubungan itu, saya akan melihat laporan task force (pasukan petugas khas ) berhubung perkara berbangkit itu (air Kelantan),” ujarnya.
Anwar berkata, pasukan tersebut diberi tempoh seminggu selepas membentangkan hasil laporan penuh kepadanya sebelum mengemukakan strategi menangani masalah bekalan air Kelantan.
Perdana Menteri memberitahu, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Ahmad Yakob dan beberapa pemegang taruh pada pagi tadi untuk mengenalpasti dan menangani masalah air Kelantan.
Tambah beliau, isu air di Kelantan lebih serius berbanding Sabah disebabkan keperluan dana kewangan yang besar untuk menanganinya namun kerajaan pusat komited untuk menyelesaikannya.
“Pada masa yang sama, mereka (kerajaan negeri Kelantan) juga perlu bersedia untuk bekerjasama dengan kita (kerajaan pusat) dan menerima keputusan negeri dan pusat,” katanya. – MalaysiaGazette