Samsul Husin (tiga dari kiri).

KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi, SagaCloud (SagaCloud) merancang untuk menjadi pelopor perisian awan di negara ini dalam usaha memudahkan urusan perhubungan dalam menjalankan tugas harian dengan lebih efektif tanpa melibatkan kos yang tinggi.

Pengasasnya, Datuk Samsul Husin berkata, buat permulaan, syarikat akan memberi fokus kepada kontrak yang melibatkan sistem pentadbiran kerajaan yang kini menyesuaikan diri dengan sistem teknologi termasuk penyimpanan dan penggunaan data serta bergantung pada sumber digital untuk maklumat dan perkhidmatan.

Beliau berkata, pakej perisian SagaCloud yang ditawarkan bertujuan untuk memenuhi keperluan negara yang sedang meningkatkan perkhidmatan e-kerajaan kepada rakyat dan merangka rancangan pembangunan ekonomi digital.

Menurutnya, empat komponen penyelesaian yang ditawarkan adalah E-Perolehan, Pengurusan Sumber Manusa (E-HRMS) dan Enterprise Perancangan Sumber Manusia (ERP).

“Teknologi pengkomputeran awan akan berfungsi sebagai salah satu pemboleh utama dalam peralihan ini dan ia membantu menyampaikan perkhidmatan kerajaan melalui saluran yang lebih pantas, berkesan dan kos efektif.

“Pengguna tidak perlu membeli sebarang bentuk perkakasan dan perisian, hanya perlu melanggan melalui pembayaran bulanan.

“Malah tiada perbelanjaan modal, tiada perbelanjaan penyelenggaraan, dan tiada perbelanjaan kemas kini setiap lima tahun,” katanya pada majlis pelancaran SagaCloud di Cyberjaya dekat sini hari ini.

Ketika ini, SagaCloud berpangkalan di pusat data di Malaysia dengan jaminan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) 99.9 peratus melibatkan tiga rakan strategi iaitu Starvision Sdn. Bhd., Eceo Sdn.  Bhd. dan OpenSoft Sdn. Bhd..

Samsul menambah, modul-modul pakej ditawarkan SagaCloud secara ala carte di mana pelanggan dapat memilih apa yang diperlukan mengikut keperluan mereka dan juga secara berperingkat melaksanakan modul-modul baharu mengikut kehendak dan masa yang sesuai.

Beliau menjelaskan, SagaCloud bertujuan menyediakan pilihan terkini untuk sistem kewangan, perakaunan, pengurusan dan akruan selain membantu mengurangkan kos operasi bagi agensi dengan mengesyorkan sistem dengan modul yang bersesuaian.

Jelas beliau, pihaknya juga mahu membantu dalam menyebarkan amalan terbaik dan perkembangan terkini dalam perakaunan melalui teknologi awan.

“Pengkomputeran awan adalah model yang membolehkan capaian rangkaian atas permintaan di mana-mana tempat dengan mudah, kepada sumber-sumber pengkomputeran yang boleh dikonfigurasi seperti rangkaian, pelayan, storan, aplikasi, dan perkhidmatan.

“Penjimatan kos adalah salah satu faedah utama pengkomputeran awan kerana ia menyediakan lebih banyak ruang penyimpanan maklumat.

“Perisian dan sistem akan dikemas kini dengan kerap tanpa melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Beliau menambah bahawa syarikat-syarikat besar semakin banyak menggunakan Cloud Computing sebagai ruang untuk para pekerja berkongsi data ketika mereka menjalankan tugas tanpa perlu bertemu wajah, tetapi tetap dapat berinteraksi dengan pihak-pihak yang berkaitan.

“Mereka juga menggunakan Cloud Computing sebagai tempat untuk menyimpan data-data penting yang mengurangkan penggunaan kertas, masa, tenaga dan wang,” katanya. – MalaysiaGazette