KUALA LUMPUR – Kenyir Geopark diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang kesembilan di bawah Program Pembangunan Geopark oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian
Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Pengiktirafan ini telah dibuat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2023 yang diadakan pada 30 Mei 2023.

Kenyir Geopark dengan keluasan 2,449 kilometer persegi meliputi sebahagian daerah Hulu Terengganu dengan bilangan penduduk seramai 16,119 orang yang dibentuk oleh pelbagai jenis batuan, mineral, struktur, landskap dan fitur geologi unik hasil daripada proses geologi yang berlaku kira-kira 360 juta tahun yang lalu.

Geopark ini mengandungi 15 geotapak (1satu bertaraf antarabangsa, dua bertaraf kebangsaan dan 12 bertaraf tempatan), 10 biotapak,11 tapak budaya dan 1 tapak geoarkeologi.

Antara nilai utama yang menjadi kebanggaan Terengganu adalah ciri-ciri utama morfologi karst Bukit Bewah yang wujud di atas tasik yang berwarna kehijauan yang memberikan nilai estetika yang tinggi.

Kewujudan pelbagai jenis fosil marin terutama Shikamaia Sp. (kerang gergasi) berusia 250 juta tahun di dinding batu kapur ini juga memberi nilai tambah kepada Bukit Bewah.

NRECC berkata, penemuan kerangka manusia pra-sejarah berusia 16,000 tahun menjadikan Bukit Bewah sebagai geotapak bertaraf antarabangsa di samping penemuan fosil kesan tapak kaki dinosaur dan fosil tumbuhan di Gunung Gagau.

Penemuan beberapa spesies flora dan fauna endemik seperti Thismia terengganuensis (flora), Kenyirus sodhii (siput) beserta penemuan artifak arkeologi seperti Batu Bersurat Terengganu menjadi komponen sumber asli penting dalam penubuhan Geopark.

Pengiktirafan ini adalah pengiktirafan Geopark Kebangsaan yang kesembilan selepas Lembah Kinta dan Lenggong Geopark di Perak; Jerai Geopark di Kedah; Kinabalu Geopark di Sabah; Labuan Geopark di Wilayah Persekutuan Labuan, dan Sarawak Delta Geopark di Sarawak, Gombak- Hulu Langat Geopark di Lembah Klang serta Stong Geopark di Kelantan.

NRECC selaku Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bersama Jawatankuasa Pelaksana Geopark telah melaksanakan usaha dan tanggungjawab yang membanggakan dalam usaha menggalakkan lain-lain Aspirasi Geopark untuk mendapat pengiktirafan sebagai Geopark Kebangsaan. – MalaysiaGazette