Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam. (Gambar hiasan).

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan menyediakan rumah mampu milik di setiap projek mega.

Menterinya, Ngar Kor Ming berkata, langkah tersebut salah satu inisiatif secara kolektif di antara kerajaan dengan pemaju perumahan.

“Ini kerana setiap pemaju perumahan swasta perlu mematuhi syarat yang telah diwajibkan untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, dalam masa yang sama kementerian tersebut sedang meneliti perkara berkenaan  di bawah kajian Dasar Perumahan Negara baru dan Dasar Perumahan Mampu Milik.

Jelasnya, dasar berkenaan perlu selari dengan konsep perumahan Madani demi memastikan pihak swasta terlibat secara aktif di dalam menawarkan rumah mampu milik mengikut lokaliti.

Terdahulu Nga berkata, KPKT menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemaju perumahan swasta perlu turut sama bertanggungjawab untuk membina rumah mampu milik.-MalaysiaGazette