Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Perasmian Pameran Lukisan Orientalis: Cerminan atau Bayangan di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan Pas bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak layak mentadbir negara atas alasan gabungan itu didominasi parti bukan Islam.

Menurutnya, pandangan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu adalah kolot kerana yang perlu dinilai adalah dasar yang dilaksanakan kerajaan.

“Ini bukan soal majoriti dalam gabungan itu bukan Melayu atau tidak. Apa yang penting adalah dasar kita. Kita tidak pernah tinggalkan orang Melayu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar menasihatkan Pas agar berhenti menabur persepsi lapuk itu kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum.

Malah, beliau yang juga Pengerusi PH meminta Abdul Hadi untuk mengemukakan bukti atas segala dakwaan negatif yang dilemparkan sebelum ini.

“Di mana dasar kita tinggalkan Islam? Kita khianat orang Melayu, mana? Di mana kita curi tanah Melayu, curi saham, curi projek?

“Hentikan naratif kolot dan jumud. Negara kita ini adalah negara pelbagai kaum. Kita angkat penghayatan Islam, tapi kita juga kena pelihara hak bukan Islam. Saya tidak mahu rakyat terpesong dengan sentimen sedemikian,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Marang itu menyifatkan kerajaan hari ini lemah kerana didominasi parti bukan Islam sedangkan majoriti rakyatnya Melayu dan beragama Islam.

Dalam pada itu, Anwar turut melahirkan rasa hairan apabila Abdul Hadi hanya berdiam diri apabila kerajaan berjaya memerangi rasuah.

“Saya tahu ada dalam kalangan pembesar dan tokoh lama, dia (Abdul Hadi) kata buat apa mahu dikorek yang lama-lama. Ini bukan soal saya mahu korek tapi harta rakyat mesti dipulangkan.

“Kalau tanya tentang kejayaan, banyak yang telah kita capai. Kita tingkatkan makna bahasa, budaya, Islam, basmi kemiskinan dan menghormati hak semua kaum. Paling utama hentikan amalan guna kuasa untuk rompak harta rakyat.

“Saya tidak mahu rakyat dicenderungkan dengan sentimen ini semua. Jadi yang ini dia (Abdul Hadi) tidak dijawab, kenapa sekarang kita boleh ambil tindakan tegas untuk hentikan rompakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Negara-negara kecil bekas jajahan British macam Qatar, UAE, dan Kuwait juga pelbagai kaum ada hak asasi warganegara asal daripada negara-negara asal pendatang ekonomi masing-masing, tetapi tanah Melayu ada kibbutz berpotensi jadi model solusi dua negara untuk konflik Palestine-Israel muka tebal lurus bendul politikus Pak Pandir ooii!

Comments are closed.