Dua orang pekerja membuat kerja-kerja membersihkan tingkap bangunan berikutan cuaca hujan tidak menentu ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyambut baik keputusan kerajaan melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menstruktur semula kontrak dalam industri pembersihan dan pencucian daripada kaedah berdasarkan bilangan pekerja kepada kontrak berasaskan prestasi.

Tindakan segera melibatkan projek rintis yang dimudahcara oleh MPC akan dilaksanakan melalui kolaborasi awam-swasta.

Persediaan awal telah pun bermula dengan kerjasama Malaysia Association of Cleaning Contractors (MACC).

“MPC melihat tindakan ini sebagai strategik dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri pembersihan dan pencucian yang berkembang dengan konsisten pada kadar 9.0 peratus setahun,” katanya.

Dalam kenyataannya, MPC berkata, ia sedang memperluaskan program peningkatan produktiviti di peringkat sektoral dan perusahaan melalui penerimagunaan teknologi dan digitalisasi.

Kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah dalam industri pembersihan dan pencucian adalah tinggi pada kadar 75 peratus daripada jumlah pekerja, kerana industri ini tidak menarik minat pekerja tempatan.

Kebanyakan kerja-kerja pembersihan masih dilakukan secara manual dengan penggunaan teknologi yang amat minimum. Kontrak pembersihan pula dilaksanakan berdasarkan jumlah pekerja dan kekerapan pencucian.

Tempoh kontrak selama satu ke dua tahun pula membuatkan kontraktor tidak cenderung untuk melabur dalam pembelian mesin dan peralatan berteknologi tinggi untuk kerja-kerja pembersihan.

Industri turut berdepan dengan isu pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, MPC mengambil pendekatan yang disarankan oleh The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) bagi melakukan ujikaji peraturan pada skala kecil untuk pelaksanaan tindakan intervensi dalam menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh industri ini.

“Dengan kerjasama kementerian dan persatuan industri berkaitan, MPC berharap agar cadangan untuk beralih kepada kontrak berdasarkan prestasi dengan bantuan teknologi dapat disempurnakan secepat mungkin.

“MPC juga sedang meneliti saranan untuk melaksanakan model sistem gaji progresif dan program latihan bagi membolehkan penerimagunaan teknologi yang lebih meluas dalam industri pembersihan dan pencucian. Tempoh kontrak turut perlu disemak semula supaya lebih panjang agar pemain industri mendapat pulangan yang sewajarnya daripada pelaburan untuk pembelian mesin dan aplikasi teknologi,” ujarnya.

Tambah MPC lagi, projek rintis akan dilaksanakan dengan segera di premis kerajaan yang terpilih dan memberikan impak besar.

Data dan maklumat yang dikumpul daripada projek rintis ini akan dikaji dan jika perlu bagi menambahbaik intervensi sebelum dilaksanakan pada skala yang lebih besar. – MalaysiaGazette