REHDA
Wisma REHDA di Kelana Jaya Selangor. (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyarankan agar kerajaan memikul tanggungjawab menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat.

Presidennya, Datuk NK Tong berkata, langkah itu adalah seperti yang dilaksanakan lebih 50 tahun lalu dan masih diamalkan di banyak negara di seluruh dunia.

Menurut beliau, ia akan menghapuskan amalan subsidi silang yang meningkatkan perumahan yang dijual pada harga biasa sekali gus menjadikannya lebih mahal bagi golongan M40 untuk membeli rumah.

“Para pemaju pada masa ini berdepan pelbagai cabaran ekoran syarat-syarat perumahan mampu milik yang perlu dipenuhi bagi membina kawasan perumahan di pasaran terbuka.

“Kebanyakan isu ini berpunca daripada kaedah subsidi silang terhadap pemaju di mana harga rumah di pasaran terbuka terpaksa dinaikkan bagi membolehkan pemaju membina rumah mampu milik yang kebiasaannya dijual pada harga yang lebih rendah daripada kos pembinaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tong berkata demikian bagi menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini agar dasar semasa berkaitan perumahan mampu milik perlu dikaji semula.

Beliau menambah, kenaikan harga telah menyebabkan rumah di pasaran terbuka yang disasarkan untuk golongan M40 tidak mampu dibeli oleh mereka.

Tong memberitahu, akibatnya, projek-projek perumahan yang gagal menarik minat pembeli semakin berisiko untuk lewat disiapkan, ‘sakit’ atau terbengkalai.

“Masalah ini berlaku bagi projek-projek yang dibangunkan oleh syarikat kecil dan sederhana yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk menangani kesan masalah kewangan,” jelasnya.

Beliau berkata, satu lagi kesan akibat subsidi silang adalah masalah rumah yang sudah siap tidak dapat dijual.

“Kami menyedari dan menghargai inisiatif yang diambil kerajaan bagi menangani pelbagai isu dalam industri perumahan dan hartang seperti memperkenalkan Skim Simen Rahmah bagi mengatasan masalah kenaikan bahan binaan.

“Tetapi lebih banyak yang perlu dilakukan bagi memastikan industri dapat dipulihkan dan menjadi mampan bagi memberi manfaat kepada rakyat yang ingin memiliki rumah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast