Permohonan reman selama empat hari terhadap semua 11 suspek di Kompleks Mahkamah Melaka hari ini dibenarkan sehingga 5 Jun ini.

MELAKA – Kegiatan satu sindiket penipuan atas talian terbongkar apabila 11 pekerjanya diberkas Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan pukul 10.40 pagi itu dilakukan susulan polis menerima aduan seorang remaja berusia 15 tahun mendakwa dipukul dan disamun sekumpulan lelaki disyaki terbabit kegiatan penipuan dalam talian.

“Bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota BSJD Melaka Tengah kemudian menyerbu sebuah rumah dua tingkat di Taman Cheng Perdana pada pukul 10.40 pagi semalam.

“Serbuan berjaya menahan lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berusia antara 18 hingga 23 tahun selain turut merampas 31 telefon bimbit, sembilan kad bank dan satu buku nota yang untuk menjalankan kegiatan penipuan atas talian,” katanya, di sini, hari ini.

Menurut Zainol, siasatan awal mendapati, sindiket terbabit bergiat aktif sejak setahun lalu di tempat lain dan mula menyewa rumah terbabit sejak sebulan lalu dengan kadar sewaan RM4,000 sebulan.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah

Tambahya, permohonan reman selama empat hari terhadap semua suspek sehingga 5 Jun ini dibuat di Kompleks Mahkamah Melaka pagi tadi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Semakan mendapati 12 laporan dibuat mangsa terhadap kegiatan sindiket ini melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM65,094.74 oleh semua mangsa iaitu dua kes di Kedah, Melaka, Selangor dan Terengganu selain satu kes di Perak dan Perlis.

“Empat daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah mengikut seksyen sama bersabit tangkapan di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan,” katanya. – MalaysiaGazette.