KUALA LUMPUR – Seramai 16 warga Myanmar yang disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia diselamatkan pihak berkuasa dalam serbuan di sebuah kilang, dekat sini, semalam.
Sumber berkata, hasil pemeriksaan pasukan di kilang terbabit berjaya menyelamatkan 16 pekerja warga Myanmar yang daripada empat bawah umur iaitu 16 dan 17 tahun manakala 12 lagi mangsa adalah berusia lingkungan 25 hingga 48 tahun.
Menurut sumber, siasatan pasukan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mendapati pasport kesemua mangsa telah ditahan majikan.
“Pemeriksaan lanjut mendedahkan tempat tinggal mereke tidak kondusif selain mangsa bawah umur dipaksa menjalankan kerja berbahaya,” katanya.
Selain Atipsom, serbuat tersebut disertai Task Force Pejabat Strategik Nasional (NSO) Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Sementara itu, sumber memberitahu, pihak berkuasa menangkap seramai 36 lelaki warga asing melibatkan warga Myanmar, Bangladesh dan pakistan berusia antara 21 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tambah beliau, serbuat tersebut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang berperanan sebagai pengurus kilang kejuruteraan besi bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal tanpa pas atau permit sah yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebat tidak lebih dari enam kali jika disabit kesalahan.
“Mereka juga sedang disiasat di bawah Seksyen 55B akta yang sama Imigresen serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. – MalaysiaGazette