Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan yang melarikan diri dan mereka cerita bahawa beliau menjadi mangsa culik diberkas polis di rumah teman lelakinya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Khamis lalu

Suspek yang menghubungi bapanya menerusi aplikasi Whatsapp meminta wang tebusan sebanyak  RM100,000 dibayar.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku di sebuah pusat membelia belah Ampang Point, di sini, 1 Jun lalu apabila polis menerima laporan daripada bapa suspek mengenai insiden tersebut.

“Pengadu yang merupakan perunding arkitek berumur 44 tahun semasa bersama dengan keluarga di Ampang Point, anak perempuan (suspek) pengadu umur 19 tahun tidak bekerja mahu pergi ke tandas.

“Sekian lama, pengadu mendapati anak perempuannya yang pergi ke tandas tidak muncul semula sebelum pengadu dan isterinya mula mencarinya di seluruh pusat membeli belah itu.

“Kira-kira dua jam kemudian iaitu pada jam 3.30 petang, isteri pengadu (emak suspek) telah terima mesej whatsapp dari nombor telefon anak perempuannya itu yang memeras sejumlah wang tunai (difahamkan RM100,000) untuk selamatkan anak pengadu itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, ahli keluarga yang bimbang akan keselamatan anak perempuan itu segera membuat laporan di Balai Polis Ampang Jaya untuk tindakan segera.

Menurut Mohamad Farouk, bertindak atas aduan pengadu itu, pada hari sama kira-kira jam 10 malam sepasukan polis dari BSJD Ampang Jaya telah membuat serbuan di sebuah rumah yang terletak di Taman Sri Muda, dipercayai rumah teman lelaki gadis tersebut.

Katanya, hasil serbuan dan pemeriksaan membawa kepada tangkapan remaja terbabit kerana disyaki terlibat dalam kes pemerasan yang disiasat polis.

“Polis juga berjaya merampas seunit telefon bimbit milik suspek disyaki digunakan untuk melakukan perbuatan jenayah pemerasan wang untuk membantu siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut polis mendedahkan bahawa punca kejadian adalah suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat dan memberitahu polis bahawa sebenarnya kejadian penculikan tidak berlaku dan ia hanya direka sendiri.

“Berkaitan dengan wang yang diminta sebanyak RM 100,000 sebagai tebusan kepada ahli keluarga juga adalah ditaip dan dihantar sendiri oleh remaja perempuan itu dan puncanya disebabkan suspek sering dikongkong oleh ahli keluarga dan tidak mendapat kebebasan untuk bergerak bebas di luar,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, remaja itu dilibatkan dalam ujian saringan air kencing yang menunjukkan keputusan negatif dan semakan mendapati gadis itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Gadis remaja itu kini direman selama tiga hari bermula Jumaat lalu hingga 4 Jun ini bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 384/182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dengan jalan didakwa berlaku pemerasan dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum enam bulan, atau dengan d e nda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya.-MalaysiaGazette