BUTTERWORTH – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperoleh dasar bagi merangka akta khas membabitkan pekerja ekonomi gig dalam tempoh dua minggu lagi.

Menterinya, V. Sivakumar berkata, pihaknya sedar tentang keperluan akta tersebut agar nasib golongan tersebut terbela terutamanya daripada segi pendapatan serta keselamatan sosial.

Jelas beliau, pihaknya percaya pekerja ekonomi gig tidak didiskriminasi oleh majikan sekiranya kerajaan mewujudkan akta membabitkan sektor itu.

“Garis panduan berhubung dasar membabitkan pekerja ekonomi gig meliputi perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing dan e-hailing akan terima dalam tempoh dua minggu lagi untuk kita kaji pelaksanaan aktanya.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menggubal akta yang mana ia tidak menjadi minat kepada majikan dan pekerja itu sendiri.

“Jadi kita rangka dasar dahulu, kemudian kita akan kaji secara lebih teliti dan terperinci sama ada nak buat undang-undang ini atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta kementeriannya merangka akta khas bagi membela nasib pekerja industri ekonomi gig  terutamanya dari segi pendapatan serta keselamatan sosial.

Terdahulu, Sivakumar merasmikan Majlis Penutup Karnival Kerjaya MYFutureJobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah Peringkat Pulau Pinang di Butterworth Arena hari ini.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata, buat masa ini bukan sahaja Malaysia, bahkan negara-negara lain juga belum ada akta atau undang-undang bagi mengawal pekerja ekonomi gig.

“Ia susulan bukan semua individu dalam sektor  terbabit bersetuju dikawal oleh mana-mana pihak. Jadi, perkara ini perlu dikaji secara lebih teliti sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan akan merangka akta khas bagi industri ekonomi gig meliputi perkhidmatan penghantaran makanan p-hailing dan e-hailing dari segi pendapatan dan keselamatan sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast