KUALA LUMPUR – Wang simpanan suri rumah berjumlah RM110,556 lesap selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan menerusi dalam talian.
Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman, mangsa berusia 36 tahun ditawarkan 15 hingga 20 peratus keuntungan daripada lapan tugasan yang diberikan menerusi Telegram yang disertainya pada Khamis lalu.
Antara tugasan yang diberikan kepada mangsa adalah membuat like and share (kongsi) video Youtub yang diletak dalam aplikasi tersebut.
“Kemudian mangsa telah membuat 21 kali pindahan wang ke lima akaun bank yang berlainan untuk menjelaskan bayaran yang dikehendaki oleh suspek.
“Mangsa telah menggunakan wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada rakanya untuk kesemua transaksi yang dibuat,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu Yahaya menasihatkan masyrakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan dahulu bagi setiap tawaran kerja yang ditawarkan bagi mengelak manjadi mangsa penipuan,” ujarnya.- MalaysiaGazette