BEKAS pemimpin tertinggi DAP Lim Kit Siang hari ini menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Anugerah Persekutuan kedua tertinggi tersebut yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ disampaikan di Istana Negara sempena sambutan Hari Keputeraan Al-Sultan Abdullah.
Berita mengenai pengurniaan darjah tertinggi itu seolah-olah mengejutkan banyak pihak semalam apabila tular foto Kit Siang menghadiri raptai majlis tersebut di Istana Negara.
Lebih-lebih lagi yang menerima anugerah tersebut adalah Kit Siang yang telah dilabel oleh musuh politiknya sebagai pencetus rusuhan kaum 13 Mei, penyokong komunis dan bersikap perkauman.
DAP dan pemimpinnya selama ini dimomokkan sebagai parti yang anti kepada hak keistimewaan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu. Seolah-olah jika DAP berkuasa Malaysia akan bertukar menjadi sebuah negara republik.
Mitos kononnya DAP menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu dibayangi dengan sedikitnya jumlah pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran dari istana.
Beberapa siri kontroversi tersetus apabila ada pemimpinnya menerima darjah kebesaran dari istana seolah-olah hampir membuktikan mitos DAP menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu menjadi fakta.
Misalnya dua pemimpin DAP iaitu Datuk Ngeh Koo Ham dan Datuk Teng Chang Khim mendapat kritikan kepimpinan parti kerana menerima anugerah Datuk.
Pengerusi DAP pada 2012, mendiang Karpal Singh telah menegur kedua-dua mereka yang menerima darjah kebesaran itu.
Beliau dilaporkan sebagai berkata, mengikut prinsip yang dipersetujui oleh ahli-ahli parti sejak pertengahan 1990-an, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen DAP tidak akan menerima anugerah Datuk semasa dalam tempoh jawatan mereka.
“Mulai sekarang, parti akan mengambil tindakan terhadap ahli-ahli yang tidak mengikut peraturan ini,” katanya, sambil menambah bentuk hukuman akan diputuskan oleh lembaga disiplin parti itu selepas pendengaran.
Ngeh, yang juga Pengerusi DAP Perak, telah dianugerahkan gelaran pada tahun 2008 manakala Teng yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menerima gelaran Datuk pada tahun 2010.
Terbaharu pada Oktober 2018 apabila Lim Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP ketika itu berkata, penerimaan sebarang gelaran dalam kalangan wakil rakyat bukan matlamat utama selepas dipilih sebagai kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau yang merupakan Menteri Kewangan pada waktu itu berkata, adalah tidak wajar ahli parti menerima gelaran sedangkan vateran DAP Lim Kit Siang dan mendiang Karpal Singh pernah menolak pemakaian gelaran Datuk yang mereka terima.
Kontroversi itu timbul selepas dua wakil rakyat DAP Melaka iaitu Adun Bandar Hilir, Tey Kok Kiew dan Adun Bemban, Wong Fort Pin menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.
Sebelum itu dua menteri DAP Sabah iaitu Stephen Wong dan Frankie Poon dianugerahkan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Sikap dan tindakan yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi DAP seolah-olah parti itu menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu dalam menganugerahkan darjah kebesaran kepada pemimpinnya.
Tindakan itu menerima kritikan yang bukan sedikit daripada musuh politik DAP yang mempergunakannya bagi mencalar dan melabel imej parti itu sebagai perkauman dan menolak kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Walau bagaimanapun penerimaan Kit Siang yang memakai songkok ketika menerima darjah yang membawa gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong telah ‘membunuh’ segala mitos dan dakwaan jahat terhadap parti itu.
Kemungkinan besar langkah Tan Sri Lim Kit Siang membolehkan lebih ramai wakil rakyat parti itu yang sedang bersikap lebih terbuka untuk menerima darjah dan kebesaran daripada Raja-Raja Melayu.
Mungkin juga lebih banyak sisi baharu DAP yang akan ditonjolkan sepanjang menjadi anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan bersama-sama parti lain termasuk Barisan Nasional.- MalaysiaGazette
Wartawan MG ni perlu pakai “songkok” ketika menulis baru menjiwai mana metos mana mental!!! pengertian yang kosong dan sahala. jika komunis tu pakai songkok apa pula “metos” kau.
Institute mana mengajar kau ni?
Pengarang berita oi, ini sultan kasi tan sri kat LKS. Bukan LKS dan parti DAP kasi perakuan Agong dan Sultan Melayu adalah ketua negara dan ketua semua bangsa DAP. Ada beza tu. DAP yg menolak ketuanan Melayu dan sistem kesultanan Melayu. Bukan sultan Melayu yg anti bangsa DAP tp sebaliknya. So, selagi bangsa DAP tak mengaku, menerima dan menunjuk perilaku hormati sistem kesultanan Melayu, camna pengarang boleh dapat ilham cenggini? Bodek pun hagak2 la..