KUALA LUMPUR – Pekerja Penjagaan Kesihatan Bersekutu Kontrak Swasta di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menghantar petisyen ini dan memorandum kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam masa terdekat ini.
Dalam satu kenyataan, Gerakan Hartal Contract Allied Health Care Workers berkata, pada awal tahun 2021 semasa negara dilanda pandemik Covid-19, pihak kerajaan terpaksa melantik petugas kesihatan dan perubatan yang terdiri daripada Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan juru X-ray secara kontrak dari Kolej Swasta bertujuan untuk menyokong perkhidmatan kesihatan yang hampir lumpuh.
Namun setelah wabak tersebut mulai reda, khidmat petugas kesihatan dan perubatan kontrak ini tidak lagi diperlukan.
“Khidmat kami mula ditamatkan berperingkat seramai 1,271 orang petugas telah ditamatkan bermula dari awal tahun 2023 sehingga kini dan 1,889 orang pegawai akan berhadapan nasib yang sama bermula pada Jun 2023.
“Disebabkan perkara itu berlaku, satu petisyen telah dilancarkan oleh empat profesion dalam kalangan PPKP, PPP, JTMP dan juru X-ray.
“Setakat hari ini, jam 12.00pm, petisyen ini telah mendapat 10,500 tandatangan dan kebanyakan dari pekerja kesihatan sektor awam sendiri dan bukannya dari orang awam.
( https://www.change.org/p/solidarity-frontliner-kontrak ),” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, solidariti ini bertujuan untuk memohon agar kerajaan khususnya KKM memberi jaminan penyambungan kontrak dengan kadar segera dan lebih lama iaitu dua tahun penyambungan kontrak seperti lantikan kontrak tajaan KKM dan supaya pihak kerajaan dapat mempertimbangkan lantikan tetap untuk kami semua pada masa akan datang. – MalaysiaGazette