Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Pelantikan 10 pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) tidak hanya melibatkan ahli Parlimen daripada kerajaan sahaja, bahkan pembangkang turut diberi ruang untuk mengetuai badan itu.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ia bagi memastikan peranan JPKP tidak berat sebelah, khususnya dalam menangani beberapa isu yang masih gagal ditangani oleh kerajaan, dan bukan atas pertimbangan politik.

“Kena ingat dalam JPKP ada juga pembangkang, mereka akan bekerja tidak sebagai yang kita fahami di dalam (Parlimen), mereka ini lebih kepada bipartisan, mereka menghayati isu itu, tidak dilihat sebagai sudut politik.

“Tetapi ianya lebih kepada isu negara, sama rata, hak kita bersama, dalam kes ini, ada pengerusi JPKP daripada pembangkang.

“Apa juga laporan dan dapatan yang dikeluarkan oleh JPKP ini akan dilihat sebagai dapatan JPKP dan bukan dari sudut politik semata-mata,” katanya pada sidang media di pejabatnya di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan dengan 10 pengerusi JPKP yang baharu dan akan bertugas sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.

Antaranya, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dilantik sebagai Pengerusi JPKP Kewangan dan Ekonomi dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula sebagai Pengerusi JPKP Kesihatan.

Selain itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin pula dilantik sebagai Pengerusi JPKP Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian; Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab sebagai Pengerusi JPKP Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi serta Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai Pengerusi JPKP Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.

Turut dilantik, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin sebagai Pengerusi JPKP Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat serta Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim sebagai Pengerusi JPKP Alam Sekitar, Sains dan Perladangan.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin pula dilantik Pengerusi JPKP Keselamatan; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai Pengerusi JPKP Perhubungan dan Perdagangan Antarabangsa serta Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen sebagai Pengerusi JPKP Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

Ketika ditanya tentang isu yang masih terhalang yang boleh dileraikan 10 JPKP ini, beliau berkata, isu peruntukan tambahan yang diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi keutamaan.

“Tentera dan polis minta bajet lebih untuk sesuatu isu, tapi kewangan ada keutamaannya, tetapi JPKP masuk dengan bukti-bukti yang cukup bahawa mereka benar-benar memerlukan banyak peruntukan.

“Apabila JPKP bekerjasama dengan kementerian, mengadap Kementerian Kewangan dan minta lebih banyak peruntukan, isu-isu ini lebih kepada keselamatan mungkin dapat diselesaikan.

“Dengan ini peranan JPKP dapat membantu kementerian itu sendiri untuk memperkukuhkan hujah bahawa mereka perlukan banyak duit untuk sesuatu isu, tanpa JPKP, peruntukan kementerian ada hadnya,” katanya.

Dalam pada itu, kesemua 10 JPKP akan dianggotai lapan anggota termasuk dua pegawai penyelidik yang akan bekerja secara sepenuh masa.

“Peruntukan kewangan juga akan diberikan kepada JPKP untuk mereka berfungsi dengan efektifnya.

“Mereka mempunyai kuasa tertentu seperti mana yang telah dipersetujui dan mereka boleh berhubung dengan pihak yang diperlukan untuk menghasilkan laporan sesuatu perkara.

“Dengan kewujudan JPKP ini akan membantu Parlimen dan Kabinet untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu yang dihadapi dari semasa ke semasa.

“Mungkin Insya-Allah isu-isu yang selama ini terhalang selama ini atas sebab-sebab tertentu, mungkin kita dapat leraikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette