Muhammad Sanusi.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia akan merakam keterangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung kenyataannya berkaitan Pulau Pinang milik Kedah esok.

Setiausaha Polis Malaysia Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tindakan itu diambil rentetan satu laporan polis telah diterima pihaknya terhadap Menteri Besar Kedah itu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan polis di mana satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kenyataan Menteri Besar (MB) Kedah bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

“Oleh demikian, rakaman percakapan daripada MB Kedah di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah akan dirakam pada 7 Jun 2023 (Rabu),” kata beliau dalam kenyataan ringkas yang dikeluarkan malam ini.

Tambah Noorsiah, siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahannya.

Katanya, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan kes masih diperingkat siasatan polis.

Terdahulu, Polis Pulau Pinang telah mengesahkan pihaknya menerima empat laporan ke atas Muhammad Sanusi berhubung dakwaan Pulau Pinang milik Kedah.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa rakyat Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah itu yang disifatkannya sebagai tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Kemudian Muhammad Sanusi dipetik berkata, beliau bersedia untuk disiasat oleh polis berhubung dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah hak Kedah dan negeri diterajuinya itu hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis. – MalaysiaGazette