PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) 2023 yang bermula hari ini sehingga 10 Jun merupakan platform yang penting bagi parti itu dalam usaha menyusun strategi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Memang benar UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak membentuk kerajaan di enam negeri berkenaan namun akar umbi mengharapkan kesemua 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dapat dipertahankan.
Pada masa ini, UMNO menyandang 15 kerusi DUN di Negeri Sembilan, lima kerusi di Selangor, dua kerusi di Pulau Pinang, tujuh kerusi di Kelantan, 10 kerusi di Terengganu dan dua kerusi di Kedah.
Formula status quo akan memastikan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi sekutu baharu UMNO dalam Kerajaan Perpaduan kekal dominan di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sekiranya mereka memenangi PRN.
Bacaan politik terkini juga mendapati Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai kelebihan di tiga negeri Melayu yang dikuasai Pas iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Situasi ini menyebabkan akar umbi UMNO resah dengan masa depan parti yang kelihatan agak suram selepas BN gagal menjadi parti yang dominan dalam kerajaan selepas PRU14.
Tambahan pula, UMNO akan bertempur sekali lagi dalam medan pilihan raya tanpa kelibat bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang masih menjalani hukuman penjara.
Ketiadaan Najib yang popular dengan fenomena Bossku dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyebabkan sokongan terhadap BN dan UMNO semakin merudum pada PRU14 jika dibandingkan dengan PRN Melaka dan Johor.
Selain itu, pucuk pimpinan UMNO harus menyedari bahawa masih ramai akar umbi yang belum berasa selesa untuk bekerjasama dengan DAP yang kini seolah-olah mengambil tempat MCA.
Walaupun ramai pemerhati yang melihat imej cauvinisme DAP kini semakin luntur selepas Anthony Loke menjadi Setiausaha Agungnya, dua lagi nama besar iaitu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang masih mempunyai pengaruh yang besar dalam parti.
Isu-isu bukan politik seperti kenaikan kos sara hidup yang sangat menekan rakyat, kejatuhan nilai ringgit serta tindakan kerajaan menarik balik rayuan kes berkaitan kalimah Allah di mahkamah juga memerlukan penjelasan yang tuntas dan telus daripada pucuk pimpinan UMNO.
Selepas episod menyedihkan pada PRU15, pemimpin-pemimpin UMNO sepatutnya insaf dan sedar bahawa rakyat termasuk akar umbi parti sendiri tidak mudah diyakinkan dengan retorik kosong tanpa disusuli tindakan konkrit.
PAU 2023 yang diadakan kira-kira lima bulan lebih awal daripada kelazimannya perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk membuktikan bahawa UMNO masih mempunyai taring dan bukan sekadar hanya menjadi ‘penumpang’ dalam Kerajaan Perpaduan.
Sekiranya kerajaan melakukan perkara yang betul dan bermanfaat untuk rakyat dan negara maka tidak salah UMNO menyokongnya, cuma tidak perlu membodek atau mengampu secara keterlaluan.
Pada masa sama, jika tindakan atau dasar yang dilaksanakan kerajaan menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam, pemimpin-pemimpin UMNO mesti lantang menyuarakan kritikan membina.
Jangan sesekali menjadikan alasan ‘BN hanya menang 30 kerusi’ untuk mewajarkan sikap UMNO yang lebih gemar memilih untuk pasrah dengan segala tindak-tanduk Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette