KUALA LUMPUR – Kenyataan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa UMNO akan ‘bungkus’ pada enam pilihan raya negeri (PRN) dianggap dibuat oleh seorang individu yang tidak gembira dengan apa yang dimilikinya.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, pandangan Khairy itu tidak semestinya melambangkan kekuatan sebenar parti yang kini berusia melebihi 60 tahun.
Menurut beliau, PRN di enam negeri terbabit bakal menyaksikan UMNO akan bersama gabungan politik yang lebih besar berbanding Barisan Nasional (BN).
“Jadi saya rasa peluang itu lebih kuat dan yang paling utama adalah kita pilih kerusi dan calon yang terbaik untuk UMNO,” katanya.
Mohd Nazifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Taklimat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Kelmarin, Khairy berkata, UMNO dijangka kalah pada PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala 50 peratus ahlinya akan meninggalkan parti.
Mohd Nazifuddin juga percaya bahawa gelombang penolakan rakyat terhadap UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak akan berulang pada PRN di enam negeri berkenaan.
Beliau memberitahu, kini rakyat dapat melihat bahawa UMNO mengetengahkan politik yang matang dan membuat keputusan atas dasar kepentingan negara.
“Walaupun bertahun kita berperang dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH), UMNO akan melakukan yang terbaik untuk negara.
“PRN ini adalah peluang untuk kita menunjukkan kekuatan bersama PH,” jelasnya. – MalaysiaGazette