KUALA LUMPUR – Pelawak Singapura, Jocelyn Chia menerima kecaman warga maya selepas rakaman video dalam program ‘ComedyCellarUSA’ tular apabila didakwa menghina Malaysia.
Menerusi video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @jocelynchiacomedy, pelawak itu menjadikan pembangunan Malaysia dan rakyat negara ini sebagai bahan jenaka.
“Selepas 40 tahun kami (Singapura) sudah menjadi sebuah negara bertaraf dunia. Manakala kamu (Malaysia)…di mana kamu sekarang? Masih sebuah negara yang sedang membangun,” katanya.
Beliau turut menyindir kononnya Malaysia memuji Singapura dan cuba berbaik-baik dengan negara republik itu sedangkan pada satu ketika dahulu perdana menteri mereka menangis ketika mengumumkan tentang perpisahan kedua-dua negara.
Lebih menyinggung perasaan rakyat Malaysia apabula Jocelyn mempersendakan tragedi kehilangan MH370, selain merendahkan capaian internet di negara ini.
Sementara itu, rata-rata warga maya menerusi ruangan komen meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelawak berkenaan.
Selain mahu isu tersebut diambil tindakan kerana boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Antara komen warga maya termasuklah perihal penduduk Singapura yang menikmati air dari Malaysia pada harga 3 sen, selain keghairahan rakyat republik itu masuk ke negara ini untuk membeli barangan pada harga murah.
Ada juga yang menyorot kepayahan kehidupan rakyat Singapura yang terpaksa bekerja hingga tua, harga rumah mahal, tiada tempat letak kereta dan mencuri-curi membeli minyak subsidi di Malaysia. – MalaysiaGazette