Suhaimi Abdullah

KUALA LUMPUR – Makanan tradisi masyarakat Cina, bak kut teh menjadi intipati persoalan pembangkang di Dewan Rakyat apabila terdapat cadangan agar memasukkan makanan itu sebagai salah satu makanan tradisi di Malaysia.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) apabila berkata, hidangan itu tidak tersenarai sebagai makanan popular ketika ini.

Malah katanya, 30 makananan tradisional pelbagai kaum di negara ini juga tidak mempunyai makanan dari jenis itu termasuk 10 makan tradisi paling popular.

“Sejak bilakah bak kut teh ini jadi makan tradisi Malaysia?

“Dalam saya melihat 10 makan tradisi popular di Malaysia, tiada bak kut teh.

“(Sebanyak) 30 makanan tradisional kaum-kaum di Malaysia juga tiada bak kut teh.

“Adakah menteri setuju masukkan makanan ini dalam permohonan seperti yang diminta Tebrau?,”katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mendengar mengenai perkara tersebut, Timbalan Menteri Pelancongan, Khairul Firdaus Akbar Khan bersetuju untuk memasukkan sesuatu jenis makanan supaya dikategori sebagai makanan tradisi.

Ia juga katanya, perlulah boleh dimakan oleh semua lapisan masyarakat.

“Saya setuju, kerana ia perlukan satu prospek makanan yang boleh dimakan semua rakyat Malaysia.

“Kalau bak kut teh ayam…bolehlah. Tapi kalau bak kut teh seperti yang dibangkitkan oleh Tebrau, dia tidak jelaskan bak kut teh jenis apa,” ujarnya.

Terdahulu, Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) meminta kerajaan menyatakan usaha untuk memastikan makanan tradisi rakyat Malaysia seperti nasi lemak, bak kut teh dan laksa diangkat martabatnya sebagai makanan kebangsaan dan tidak dituntut sebagai makanan kebangsaan negara lain. – MalaysiaGazette