Gambar hiasan

Artikel ini ditulis oleh pembaca MalaysiaGazette

LANDSKAP politik negara akan kian berubah mengikut keadaan semasa. Sejarah mula tercipta apabila tertubuhnya sebuah kerajaan yang dianggotai oleh beberapa buah parti politik yang bermusuhan sejak sekian lama. Namun segala kebencian dan permusuhan dilempar jauh dari lubuk hati untuk memastikan kesejahteraan dan nasib rakyat terus dipelihara. Maka tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Setelah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 yang lalu,rakyat Malaysia sekali lagi perlu melaksanakan tanggungjawab demokrasi mereka untuk mengundi bagi Pilihanraya Negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu Selangor,Negeri Sembilan,Pulau Pinang,Kedah,Kelantan dan Terengganu. PRN bagi enam buah negeri ini akan berlangsung dalam tempoh masa terdekat.

PRN yang akan berlangsung ini akan menjadi medan ujian terbesar bukan sahaja kepada Kerajaan Perpaduan tetapi juga kepada parti pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN). Rakyat sedang memerhati reputasi Kerajaan Perpaduan yang sedang memimpin sekarang dan rakyat juga sedang menilai PN sebagai pembangkang bagi memastikan mereka bersih dan stabil seperti yang dilaungkan semasa PRU15 yang lalu. Pemerhatian dan penilaian yang dibuat oleh rakyat akan diterjemahkan ke dalam kotak undi semasa hari pengundian kelak.

Satu kajian yang dibuat oleh sebuah badan kaji selidik iaitu Endeavour MSG pada bulan April yang lalu telah membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi pilihan popular rakyat Malaysia iaitu sebanyak 56% bagi semua kaum dan 44% bagi respoden melayu. Keputusan ini akan menjadi satu markah tambahan buat Kerajaan Perpaduan semasa PRN kelak.

Keputusan dan dasar yang dibuat oleh kerajaan yang memihak kepada rakyat akan memberi impak yang besar terhadap sokongan rakyat kepada kerajaan. Contohnya ketegasan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam melawan kemiskinan telah dibuktikan apabila beliau telah berbincang dengan PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) untuk berkongsi keuntungan bersama para pesawah. Akhirnya BERNAS bersetuju untuk menyumbang sebanyak RM60 juta untuk membantu para pesawah miskin dan berkongsi 30% keuntungan bersih kepada para pesawah.

Selain itu,inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat telah menerima sambutan yang sangat meluas seperti Menu Rahmah yang menyediakan hidangan sepinggan lengkap dengan harga yang sangat berpatutan iaitu RM5 untuk setiap hidangan. Bahkan Menu Rahmah ini bukan sahaja tertumpu pada makanan sahaja,terdapat juga barang lain yang dijual dengan harga yang murah seperti Tayar Motor Rahmah,Kaca Mata Rahmah dan banyak lagi yang dijual dengan harga mampu milik.

Kecekapan dan ketelusan kerajaan dalam soal pentadbiran telah dibuktikan setelah ekonomi Malaysia berkembang pada kadar 5.6% pada suku pertama tahun 2023. Sekiranya Kerajaan Perpaduan menunjukkan komitmen yang baik berterusan maka akan mudah bagi mereka untuk mendapat sokongan rakyat daripada enam negeri tersebut.

Namun Kerajaan Perpaduan perlu lebih berhati-hati dalam melaksanakan dan membuat sebarang keputusan terutama sekali isu sensitif yang melibatkan kaum dan agama. Contohnya isu kalimah Allah yang hangat diperdebatkan telah digunakan oleh PN sebagai senjata untuk memburukkan kerajaan kerana gagal mempertahankan kesucian agama islam dan orang melayu.

Sekiranya Kerajaan Perpaduan gagal untuk memberi pencerahan dan kefahaman kepada rakyat tentang sesuatu isu yang menyentuh soal kaum dan agama melalui jentera kerajaan yang ada,tak mustahil sokongan orang melayu kepada Kerajaan Perpaduan akan terus merosot dan mereka akan bertukar sokongan kepada PN.

Sentimen kaum dan agama telah dimanfaatkan oleh PN untuk mendapatkan sokongan pengundi melayu. Ini dibuktikan melalui satu kajian yang dilakukan oleh Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) bersama Universiti Nottingham Malaysia,Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 66,933 hantaran yang melibatkan isu kaum dan 24,484 hantaran yang melibatkan isu agama telah dimuatnaik ketika tempoh PRU15 yang lalu.

Hantaran yang berunsur perkauman seperti sentimen anti-Cina,Hak Ketuanan Melayu, peristiwa 13 Mei 1969,agenda kristianiasi dan LGBTQ telah digunakan sebagai propaganda dan bahan kempen sama ada diatas pentas ceramah atau media sosial oleh calon daripada Bersatu dan PAS untuk meraih sokongan orang melayu islam. Isu kaum dan agama yang dimainkan oleh PN semasa kempen PRU15 yang lalu menyebabkan suasana yang tidak sihat dengan menyuburkan nilai kebencian serta menanamkan rasa buruk sangka yang mampu meruntuhkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Dalam PRN kali ini, PN akan menghadapi banyak masalah. Antaranya,PN tidak dapat lagi berkempen secara gah seperti PRU15 yang lalu kerana akaun bank parti Bersatu telah dibekukan untuk dijalankan siasatan dalam isu penyelewangan dana kerajaan. Mereka juga terpaksa membersihkan semula nama mereka setelah beberapa pemimpin utama PN yang terlibat dalam kes rasuah termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah dan penyelewengan serta termasuklah beberapa orang pemimpin Pas yang kalah saman fitnah kepada pemimpin Pakatan Harapan.

Isu masalah air di Kelantan dan Kedah yang gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri serta isu penjualan tanah kerajaan negeri dibawah harga pasaran yang berlaku di Terengganu yang ketiga-tiganya dipimpin oleh PN akan meruntuhkan lagi sokongan rakyat kepada mereka.

Nilai islam yang ditonjolkan oleh Kerajaan Perpaduan melalui dasar mengurangkan cabutan khas judi dan menjemput tokoh ulama serta ilmuan islam ke Malaysia untuk menyampai ilmu risalah islam telah memintas PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan agama. Selain itu juga tindakan ahli parlimen PN keluar dewan semasa kerajaan ingin membahaskan Laporan Ketua Audit Negara 2021 menimbulkan keraguan orang ramai kerana laporan yang dibahaskan melibatkan dana dan wang rakyat yang digunakan semasa tempoh darurat yang diisytiharkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Semak dan imbang daripada pembangkang perlu dilaksanakan bagi memastikan segala perbelanjaan digunakan sebaik mungkin.

Kerajaan Perpaduan yang dianggotai oleh pelbagai parti telah menyatakan sokongan dan dukungan yang padu terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Para pemimpin di peringkat negeri yang akan bertanding telah menjalankan perbincangan secara baik diantara semua parti dan akar umbi juga perlu menunjukkan kerjasama yang kuat semasa kempen PRN bagi memastikan Kerajaan Perpaduan terus membawa kestabilan serta memelihara hak rakyat.

Muhammad Azha Salahudin

Nota Pengarang: Penulisan yang dikongsi oleh penulis tidak menggambarkan pendirian atau pandangan MalaysiaGazette

1 Komen

  1. politik yang bukan untok bela rakyat patut dimansuhkan . sebenarnya politik hanya alat untok kepentingan individu tertentu sahaja . majlis raja2 patut bersidang mencari jalan keluar supaya politik bagaimana yang perlu diamalkan . aku sekarang tidak berminat untok keluar mengundi bila ramai rakyat sokong bebas najib .

Comments are closed.