Syeikh Umar Bagharib Ali (tengah) pada majlis pelancaran tanaman nenas MD2 Komuniti Felda Bukit Ramun, di Kulai, Johor.

JOHOR BAHRU – Inisiatif penanaman nenas MD2 secara integrasi bersama tanaman kelapa sawit, dilihat mampu menjadi nilai tambah kepada peneroka Felda.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), Syeikh Umar Bagharib Ali berkata, usaha itu juga sebagai langkah untuk mempelbagaikan tanaman komoditi di kebun, sekaligus meningkatkan pendapatan pengusaha.

Beliau berkata, pada peringkat awal, pelaksanaan projek yang dibuat secara ujian itu membabitkan agihan 5,000 benih nenas kepada peneroka di Felda Bukit Ramun, Kulai dan ia akan diperluaskan ke kawasan Felda lain.

“Saya juga membawa satu formula yang mudah iaitu satu ekar tanah boleh ditanam sehingga maksimum 20,000 pokok nanas, dan satu pokok nenas nilainya RM20 pada ketika ini. Kalaulah satu Pokok nenas boleh sampai kepada tahap RM50.

“Dengan mempelbagaikan produk-produk di peringkat hiliran dan sebagainya, maka saya yakin, satu ekar nenas boleh mencapai sebanyak RM1 juta pendapatan kepada pekebun nenas,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran tanaman nenas MD2 Komuniti Felda Bukit Ramun, di Kulai, hari ini.

Jelas Syeikh Umar, inisatif itu diharapkan dapat mengurangkan beban pekebun sawit, khususnya ketika proses penebangan dan penanaman semula pokok, yang dijadual dilaksanakan pada Julai tahun depan.

Katanya, para peneroka terpaksa mengeluarkan modal sehingga RM150,000 untuk kerja-kerja penanaman semula.

Bagaimanapun, dengan hasil nenas MD2 yang dapat disemai di kebun sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan berkenaan.

“Saya yakin percubaan ini positifnya ialah kita nak lihat berapa kos tanam semula yang kita boleh dikurangkan daripada kita punya kolaborasi antara NGO dengan LPNM dan KULIM,” ujarnya

Menurut beliau, tanaman nenas membawa pulangan kedua terbesar selepas durian Musang King. – MalaysiaGazette