KUALA LUMPUR — Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamad Hassan tentang blueprint untuk kekal relevan sebagai ‘mimpi di siang hari’.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor menegaskan, pelan tindakan itu tidak bermakna sekiranya visi UMNO tidak disusuli tindakan yang sewajarnya sekarang.
“Vision without action is hallucination (visi tanpa tindakan adalah halusinasi),” katanya menerusi hantaran di Instastorynya, hari ini.
Status itu sebagai respon kepada tangkap layar laporan media berjudul “UMNO perlu ada solusi, pelan tindakan jika mahu kekal relevan – Tok Mat” yang merujuk kepada ucapan Mohamad merasmikan Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), semalam.
Hantaran tersebut kemudian diulang siar bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Instastory.
Khairy memberi respon dengan meletakkan stiker bertulis ‘Boom’ pada status berkenaan.
Mohamad pada perasmian Perhimpunan Agung sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PAU2023 semalam mahu generasi baharu parti itu mempunyai agenda Melayu yang lebih tuntas dan seiring zaman.
Menurutnya, jika UMNO ingin kekal relevan, parti tunjang kaum Melayu itu perlu mewujudkan pelan tindakan baharu yang mengutamakan agenda khusus untuk kaum Melayu.
Hari ini, Hasni dilihat bersama-sama Hishammuddin serta Khairy mengadakan satu pertemuan yang menjadi tanda tanya ramai.
Pertemuan itu dikongsikan Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong menerusi hantaran di Facebooknya dengan memuat naik beberapa foto mereka bertiga.
Bekas Menteri Barisan Nasional (BN) itu turut menimbulkan tanda tanya umum apabila memuat naik status ‘Apa langkah seterusnya’ di Facebook beliau.
“What’s next?,” katanya.
Isnin lalu, Hishammuddin yang kini digantung enam tahun mengadakan pertemuan dengan rakan seperjuangannya dalam politik iaitu bekas Pengerusi Perhubungan UMNO, Tan Sri Noh Omar.
Noh sebelum itu dikatakan akan menyertai Perikatan Nasional (PN) setelah dipecat UMNO. – MalaysiaGazette