PUTRAJAYA- Malaysia dan Indonesia berjaya menyelesaikan isu persempadanan maritim antara wilayah melibatkan Laut Sulawesi dan Selat Melaka yang tertangguh selama 18 tahun menerusi hubungan akrab serta kesepakatan pemimpin kedua-dua negara.
Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu, turut berharap proses rundingan bagi isu perbatasan (persempadanan) lain dapat diselesaikan segera.
“Di Malaysia, harap perdana menteri Anwar (Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan di Indonesia presiden masih Jokowi.
“Yang pasti sudah banyak disampaikan Anwar, yang pertama saya menyambut baik penyelesaian rundingan sempadan laut di Laut Sulawesi dan bahagian selatan Selat Melaka setelah 18 tahun proses rundingan.
“Selepas 18 tahun berjaya diselesaikan Alhamdulillah, Anwar dibantu para menteri,” katanya dalam sidang akhbar bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana di sini pada Khamis.
Rundingan sempadan di Laut Sulawesi dan bahagian paling selatan Selat Melaka telah dilakukan sejak 2005.
Dalam pada itu, Anwar pula turut menzahirkan penghargaan atas komitmen Jokowi memberi kerjasama untuk memudahkan proses penyelesaian isu persempadanan itu.
“Ini hubungan sangat akrab serta memudahkan dan saya berbangga dengan pimpinan dua-dua negara hari ini, kita dapat selesaikan satu isu yang telah kita runding selama berpuluh tahun,” katanya.
Mengenai perlindungan yang diberikan kepada pekerja migran Indonesia, Jokowi menghargai komitmen Anwar dalam memperkukuh aspek perlindungan terhadap rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.
“Saya dan Anwar sepakat untuk membentuk mekanisme khusus bilateral untuk menyelesaikan masalah berkaitan pekerja migran Indonesia,” katanya.
Jokowi turut menyuarakan tekad untuk melawan diskriminasi terhadap komoditi kelapa sawit dan komoditi lain yang dihasilkan kedua-dua negara yang merupakan negara pengimport terbesar kelapa sawit.
“Kolaborasi semacam ini harus diperkuat jangan sampai komoditas (komoditi) yang dihasilkan oleh Malaysia dan Indonesia didiskriminasi di negara lain,” katanya.
— BERNAMA