KUALA LUMPUR – Wanita UMNO secara jujur mahu diberikan tugas lebih besar dan tidak mahu sekadar memanaskan kerusi di agensi kerajaan dan badan berkaitan kerajaan (GLC) sahaja, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Wanita UMNO jelasnya mahu dicabar dengan peranan lebih besar umpamanya jawatan paling kanan dalam kerajaan.
“Sudah tiba masanya wanita diberikan peranan yang lebih besar. Kita mahu wanita diberikan peluang untuk menerajui kementerian yang lebih kanan,’ katanya dalam ucapan perasmian Sayap Wanita di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), hari ini.
Gesaan Noraini itu mendapat tepukan gemuruh perwakilan Wanita UMNO mahupun wakil sayap wanita parti gabungan kerajaan perpaduan.
Jelas Noraini lagi, berdasarkan kepada pengorbanan dan perjuangan wanita selama ini, tuntutan itu difikirkan wajar bagi memastikan sayap wanita seiring dengan peredaran politik masa kini.
“Kita tidak mahu wanita sering diberikan dengan portfolio-portfolio tradisi seperti ada-ada sahaja. Kita tidak mahu wanita sekadar memanaskan kerusi-kerusi di agensi kerajaan dan GLC sahaja.
“Kita tidak mahu wanita sekadar dijanjikan dengan sejumlah bilangan kerusi,” tegas Noraini lagi.
Tambah Ahli Parlimen Parit Sulong itu lagi, gesaan itu boleh dimulakan dengan merealisasikan tuntutan kouta 30 peratus kerusi wanita dalam dalam agensi dan GLC dibawah kerajaan.
Jelasnya lagi, Wanita UMNO tidak akan berdiam diri selagi tuntutan itu tidak dipenuhi.
“Kita mahu wanita diberikan kuota 30 peratus kerusi dan bukan lagi sekadar janji-janji. Wanita tidak akan pernah jemu dengan tuntutan sehingga ianya dapat dicapai.
“Tuntutan ini hadir bersama dengan cabaran. Adakah kita bersedia? Kita mempunyai barisan yang cukup dan memenuhi kriteria yang boleh ditonjolkan sebagai calon? Saya percaya kita boleh.
“Sudah tiba masanya untuk Wanita UMNO mempunyai sebuah institusi yang mencungkil potensi dan melahirkan calon-calon wanita yang boleh kita ketengahkan,” kata Noraini lagi. – MalaysiaGazette