Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon.

KUALA LUMPUR- Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang berasal dari negara itu, Jocelyn Chia.

Perkara itu disampaikan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon dalam satu kenyataan.

Katanya,Kerajaan Singapura tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetus kemudaratan atau mengguris hati perasaan orang lain.

Tambah Vanu Gopala, beliau sendiriĀ amat terkejut dengan komen menyinggung perasaan yang dibuat oleh Jocelyn dalam satu persembahan komedi baru-baru ini.

Tegasnya, Jocelyn tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura dan kata-kata atau tindakannya sama sekali tidak mencerminkan pandangan negara itu.

Vanu Gopala berkata, sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia menikmati hubungan kukuh di pelbagai peringkat, dengan ikatan yang cukup mendalam.

“Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia.

“Singapura dan Malaysia mempunyai hubungan sejarah yang unik dan hubungan erat antara rakyat dengan rakyat.

“Komen-komen seperti yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan dan persahabatan rapat dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya,” katanya.

Terdahulu, seorang pelawak wanita kelahiran Singapura bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.

Menerusi klip video dimuat naik menerusi akaun TikTok, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun, berbanding negaranya lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Sepanjang rakaman video berdurasi satu minit 29 saat itu, pengisian bahan lawak dipersembahkan Jocelyn berbaur kata-kata menghina dan memek muka memperlekehkan Malaysia.

Ini termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kamu tidak ada empati dan perasaan, isteri kru MH370 bidas pelawak Singapura