Sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO mula bersidang hari ini. Foto MUHD NA’IM, 07 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Hari kedua Perhimpunan Agung UMNO 2023 (PAU) hari ini menyaksikan lebih 3,400 perwakilan tiga sayap parti bersidang di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Persidangan dimulakan dengan Ucapan Dasar Ketua Sayap di tiga lokasi berasingan iaitu Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak dan Puteri di Dewan Tun Dr. Ismail, WTC.

Lebih menceriakan dengan kehadiran tetamu istimewa UMNO dari parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA, MIC, PBRS serta parti komponen kerajaan perpaduan.

Malam tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan persidangan tiga sayap itu yang dihadiri Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Dr. Muhamad Akmal Salleh; dan Ketua Puteri, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Hari ini juga Wanita, Pemuda dan Puteri menampilkan pembahas masing-masing yang diberi masa kira-kira 15 minit seorang.

Antara pembahas Wanita ialah Nik Normi Nik Ayub dari Kelantan, Datuk Kalsom Noordin (Melaka), Muzalina Muhamad (Wilayah Persekutuan), Hazulizah Mohd Dani (Sabah), Suriati Che Mid (Kedah) dan Shafina Ibrahim (Perlis).

Turut mengambil bahagian, Naz Azra Sabtu dari Selangor, Wan Nasiah Wan Abdul Majid (Terengganu), Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid (Negeri Sembilan), Aishah Hussain (Pulau Pinang) dan Fauziah Misri (Johor).

Pemuda pula menampilkan 14 pembahas atau jurucakap iaitu Abdul Hakim Abdul Wahid dari Melaka, Mohd Jasnizan Muhamad Husni (Kedah), Mohd Rozaini Mohd Rasli (Terengganu), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (Kelantan), Zulfadzli Hisham Abu Zahni (Perak) dan Mohd Hilmi Elias (Pulau Pinang).

Wilayah Persekutuan pula diwakili Datuk Alif Firdaus Abd. Hadi, diikuti Mohd Kamil Ibrahim (Pahang), Dr. Mohammad Aswad Ithnain (Johor), Mohd Fadil Md. Zin (Negeri Sembilan), Mohd Nazri Zikri (Sabah) dan Saiful Fariddil Jasmi (Perlis).

Selain itu, dua wakil kelab turut mengambil bahagian dalam perbahasan iaitu Kelab Putera UMNO disampaikan oleh Muhammad Qasirien Sazuki dan Kelab UMNO Luar Negara oleh Danish Rafee Mohamad.

Pembahas dari Puteri UMNO ialah Nurul Amirah Mohd Yusof (Melaka), Sitti Norfianah Piddin (Sabah), Siti Nor Asyikin Ramlan (Negeri Sembilan), Siti Norain Nasihah Abdul Halim (Terengganu) dan Nur Nazirah Zahaludin (Pahang).

Pemuda UMNO, sebelum memulakan persidangan telah mencuit hati perwakilan dengan pengumuman Anugerah Tokoh Pemuda yang dinobatkan kepada mantan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Anugerah itu disampaikan Dr. Muhamad Akmal kepada anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar dalam suasana linangan air mata perwakilan kerana mengenangkan nasib mantan Perdana Menteri keenam yang kini dalam penjara.

Sementara itu, Dr. Noraini dalam ucapan dasarnya menyifatkan PAU 2023 kali ini sebagai perhimpunan yang sangat penting kerana diadakan di tengah dua pilihan raya iaitu Pilihan Raya Umum November tahun lalu dan Pilihan Raya Negeri dijangka bulan depan.

Beliau juga menyifatkan, PAU kali ini sebagai perhimpunan semak dan imbang prestasi lalu, sekali gus persediaan untuk UMNO menghadapi PRN dengan naratif baharu, tawaran baharu dan juga gerak kerja yang baharu.

Dr. Noraini juga tidak menafikan di awal penubuhan gabungan yang membentuk kerajaan perpaduan itu, parti berdepan dengan pelbagai provokasi, bukan sahaja dari luaran, tetapi di kalangan sesama pimpinan dan ahli.

“Seolah parti yang kita sayangi ini berada di ambang perpecahan. Kita digambarkan akan bakal hancur dengan banyak suara, kritikan dan perpecahan berlaku sepanjang tempoh itu.

“Belum habis lagi berduka, sebaik tamat perhimpunan, demi memenuhi kehendak perlembagaan, kita terpaksa menghadapi pula pemilihan,” katanya.

Dalam ucapan dasar Ketua Puteri, Nurul Amal menyeru semua ahli sayap itu untuk meluaskan perspektif atau sudut pandang masing-masing berkenaan kerajaan perpaduan.

Beliau mengakui perlukan masa untuk menghadami dan memahami apakah hikmah keberadaan UMNO dalam kerajaan ini sama ada ia terbaik untuk parti, perjuangan parti dan rakyat.

Katanya, perpaduan adalah fundamental atau teras kepada kerajaan ini kerana perpaduanlah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Namun, ujar beliau, demi kestabilan dan kepentingan rakyat, pihaknya menyambut salam perpaduan dan menjunjung perpaduan itu seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast