Fairul Nizam Roslan
Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan menyampaikan ucapan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto UMNO ONLINE, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang pembahas Ucapan Dasar Presiden UMNO menggesa parti itu supaya memanggil dan memberi ‘surat’ kepada ahli yang menyertai Muafakat Nasional.

Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Fairul Nizam Roslan mendakwa badan bukan kerajaan (NGO) tersebut telah menjalankan gerak kerja mendaftarkan ahli UMNO di cawangan sebagai ahli pertubuhan berkenaan.

Serentak itu Fairul Nizam menggesa supaya pemimpin UMNO memastikan ahli terbabit tidak menjadi ahli Muafakat Nasional secara tetap.

“Kita sedar atau tidak dalam sibuk merangka gerak kerja untuk kempen pilihan raya bagi rakan enam negeri, ada satu NGO telah ditubuhkan dinamakan Muafakat Nasional.

“Kita sedar atau tidak NGO ini untuk kumpul keahlian untuk memastikan ketua-ketua cawangan ahli-ahli UMNO masuk dan menyertai NGO ini. Mengapa kita masih nak menyokong?

“Saya harap Majlis Kerja Tertinggi ambil perhatian sekiranya ada ahli UMNO yang menyertai NGO ini dipanggil dan diberi surat atau apa-apa juga untuk memastikan sokongan ahli parti kita yang jadi ahli NGO ini tidak berubah menjadi ahli (Muafakat Nasional),” kata wakil Melaka itu.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa merupakan Presiden Muafakat Nasional yang ditubuhkan pada 19 September 2019.

Pertubuhan itu kini mempunyai keahlian lebih 30,000 orang yang melampaui parti politik.

Faizul Nizam berkata, beliau bimbang ahli UMNO yang menjadi ahli Muafakat Nasional akan dipergunakan sebagai jentera kempen parti lawan semasa pilihan raya enam negeri nanti.

“Saya risau dan bimbang ketika pilihan raya negeri mereka menggunakan jentera parti dalam NGO ini untuk mengerak kempen kepada pihak lawan. Ini harus diberi perhatian,” katanya.

Annuar dipecat daripada parti pada Disember 2022 di bawah Fasal 20.11 dan Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast