Kesemua tertuduh, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di Mahkamah Melaka, Ayer Keroh di sini hari ini.

MELAKA – Lima ahli kumpulan curi dan samun motosikal dikenali Geng Faiz Tanah Merah, termasuk ketuanya, dihadapkan ke Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, di sini, atas pertuduhan melakukan jenayah itu sejak Mac lalu.

Kesemua tertuduh, Muhamad Faiz Anuar, 26, Mohd Amirruddin Mohd Jazaly, 32, Bong Hang Hun, 41, Muhammad Muqri Mohd Azuan, 20 dan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan.

Semua pertuduhan dibacakan secara berasingan pada prosiding di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, Hakim Darmafikri Abu Adam dan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Faiz, Mohd Amirruddin dan Muhammad Muqri didapati dengan curang telah menghapuskan harta curi iaitu empat buah motosikal, sebuah rangka motosikal dan enam buah komponen pelbagai jenis motosikal antara 19 April hingga 9 Mei lalu.

Perbuatan itu dilakukan sekitar Tangga Batu, Taman Malim Jaya, Paya Rumput dalam daerah Melaka Tengah dan Taman Rembia Setia, dalam daerah Alor Gajah.

Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang enam bulan penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Muhamad Faiz dan seorang lagi tertuduh lelaki berusia 14 tahun turut didapati melakukan rompakan berkumpulan dengan mengambil sebuah motosikal jenis Yamaha LC135SE milik seorang lelaki.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan KP22 Krubong Perdana, dalam daerah Melaka Tengah di sini pada pukul 8.15 pagi 24 Mac lalu dan sabit kesalahan, hendaklah dihukum penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 395 kanun sama.

Sementara itu, tertuduh Hang Hun turut berdepan pertuduhan berniaga harta curi iaitu motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 125Z kepunyaan dua individu yang dijual pada harga RM290 dan RM600.

Kesalahan itu dilakukan di alamat Abun Motorsport, Taman Rembia, dalam daerah Alor Gajah pada kira-kira pukul 9 malam 26 April lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan.

Muhamad Faiz dan Mohd Amirruddin turut didapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methaamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah antara pukul 3 hingga 3.40 petang 8 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali dan perintah pengawasan selama dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 38B akta sama.

Mohd Amirruddin turut berdepan pertuduhan dengan sengaja menghalang penjawat awam, seorang anggota polis yang sedang menjalankan tugas iaitu melarikan diri daripada pemeriksaan pada kira-kira pukul 5 petang 6 Mei lalu di tepi jalan Taman Paya Rumput Indah.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, J Banusha dan N. Sivashangari manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menetapkan membenarkan semua tertuduh diikat jamin berjumlah RM62,500 dan 13 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.