Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Lelaki yang disyaki mendera anak teman wanitanya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, di sini memiliki 13 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zin berkata, hasil pemeriksaan polis ke atas suspek yang berusia 31 tahun itu mendapati dia mempunyai lapan rekod kes jenayah dan lima kes dadah.

“Suspek yang menjalani ujian saringan air kencing juga didapati positif dadah.

“Pagi tadi suspek dihadapkan ke mahkamah dan dibenarkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Jun ini untuk membantu siasatan kes ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat kontinjen tengah hari tadi.

Tambah Mohd Shuhaily lagi, siasatan sedang dikendalikan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek turut disiasat di bawah Peraturan 25 Akta Pendaftaran Negara apabila siasatan lanjut polis juga mendedahkan suspek memegang kad pengenalan milik orang lain.

“Siasatan kami juga mendapati suspek yang juga pengganggur berkenalan dan tinggal bersama ibu mangsa sejak dua bulan lalu,” katanya.

Mohd Shuhaily menambah, mangsa didera kerana terlalu aktif.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden D Saralathan mengesahkan tengah malam tadi suspek berjaya diberkas di sebuah pangsapuri di Jinjang, Sentul.

Berdasarkan siasatan awal polis, lelaki yang dikenali sebagai Amir Shafiq Suhaimi, 31, dipercayai memukul hingga mangsa bengkak pada bibir dan lebam kedua-dua mata serta bahagian belakang badan.

Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. – MalaysiaGazette