KUALA LUMPUR – Pasaran buruh negara ini dijangka berkembang sederhana pada bulan-bulan akan datang berikutanekonomi Malaysia diunjurkan berkembang secara sederhana, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ia berdasarkan jangkaan ekonomi Malaysia yang diunjur mengekalkan pertumbuhan yang positif pada 2023, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding pada 2022.

Ini disokong oleh faktor-faktor seperti permintaan domestik yang berterusan, kedudukan pasaran buruh yang lebih baik, trend inflasi yang lebih stabil, dan pemulihan ketibaan pelancong, yang mana aktiviti pelancongan yang semakin rancak dijangka akan memberikan kesan positif kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan industri berkaitan.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, kadar pengangguran pada bulan April 2023 kekal pada 3.5 peratus, manakala bilangan penganggur terus berkurangan kepada 586,900 orang.

Pasaran buruh kekal stabil, dengan peningkatan berterusan dalam bilangan tenaga buruh yang disumbangkan oleh pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja dan penurunan berterusan dalam bilangan penganggur.

Bilangan tenaga buruh pada April 2023 terus meningkat, dengan kenaikan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.84 juta orang (Mac 2023: 16.81 juta orang).

Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus kepada 70.0 peratus (Mac 2023: 69.9%), menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran.

Perbandingan bulan ke bulan menunjukkan bilangan penduduk bekerja kekal pada trend positif pada April 2023 dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.25 juta orang (Mac 2023: 16.22 juta orang).

Sementara itu, bilangan penganggur pada bulan tersebut terus menurun, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 586,900 orang (Mac 2023: 588,700 orang).

Kadar pengangguran pada April 2023 kekal pada 3.5 peratus (Mac 2023: 3.5%).

Dalam kenyataannya mengenai kedudukan guna tenaga, Jabatan Perangkaan berkata, kategori pekerja yang merangkumi 75.5 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, mencatatkan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.28 juta orang (Mac 2023: 12.26 juta orang).

Trend yang sama dilihat dalam bilangan penduduk bekerja sendiri, yang meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 2.92 juta orang berbanding 2.91 juta orang pada Mac 2023 dalam tempoh yang sama.

Analisis mengikut sektor ekonomi menunjukkan bahawa bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus berada dalam trend peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong & runcit; perkhidmatan makanan & minuman; dan maklumat & komunikasi.

Guna tenaga dalam sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga menunjukkan peningkatan.

Sebaliknya, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perlombongan & pengkuarian mencatatkan penurunan pada bulan tersebut.

Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, merangkumi 80.4 peratus daripada jumlah penganggur pada April 2023.

Kumpulan ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus kepada 471,900 orang (Mac 2023: 472.9 ribu orang).

Daripada jumlah penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan meliputi 61.2 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun merangkumi 6.5 peratus.

Begitu juga, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, mencatatkan penurunan bulan ke bulan sebanyak 0.6 peratus kepada 115,100 orang (Mac 2023: 115,800 orang).

Pada April 2023, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun terus berkurang bagi enam bulan berturut-turut dengan penurunan bulan ke bulan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 11.1 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 315,600 orang (Mac 2023: 11.2%; 317, 300 orang).

Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.4 mata peratus kepada 6.7 peratus, mencatatkan 441, 000 penganggur belia (Mac 2023: 7.1%; 454,900 orang).

Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada April 2023 mencatatkan penurunan sedikit iaitu sebanyak 0.03 peratus kepada 7.23 juta orang (Mac 2023: 7.23 juta orang).

Kerja rumah/ tanggungjawab keluarga merupakan antara sebab utama luar tenaga buruh, dengan peratus sumbangan sebanyak 43.6 peratus, diikuti oleh kategori bersekolah/ latihan (40.5%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast