Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Walaupun tidak dijemput untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, namun Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tetap hadir kerana Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Tajuddin berkata, kelantangan Dr Akmal yang mendesak DAP memohon maaf kepada UMNO kerana tohmahan dan cacian sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan boleh mengembalikan parti itu ke landasan yang betul.

“Yang berani sekarang ini saya dengar semalam Ketua Pemuda UMNO D,r Akmal Salleh, itu sebab saya datang hari ini, saya nak ucap tahniah kepada dia.

“Dr Akmal inilah jenis orang, inilah pemuda, bukan macam (bekas Ketua) Pemuda Asyraf, itu sebab dia bertanding tiga kali pun kalah.

“Ini yang memberikan harapan kepada kita, Akmal, kalau betul macam ini konsisten ada harapan UMNO ini diwarisi oleh pewaris yang boleh membangkitkan semula UMNO,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Semalam, Dr Akmal mendesak DAP meminta maaf serta menarik balik segala tohmahan yang dilemparkan terhadap UMNO sebelum ini bagi membuktikan persahabatan dalam Kerajaan Perpaduan benar-benar ikhlas.

Dr Akmal juga mempersoalkan tindakan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook yang sanggup datang ke Sarawak untuk meminta maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Dalam pada itu, Tajuddin mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa beberapa kenyataan yang dibuat beliau sebelum ini hingga dihukum gantung keahlian selama enam tahun bukan serangan peribadi.

“Memang Datuk Zahid marah kat saya, pasal saya buat kenyataan yang agak keras tapi kenyataan-kenyataan saya itu bukan (serang) peribadi, tiada yang peribadi.

“Semua itu tentang parti sendiri, kita nak selamatkan parti, sebab masa itu kita dalam suasana nak menghadapi pilihan raya, jadi saya bagi pandangan yang kritikal, pandangan, teguran, tapi janganlah itu dianggap saya menentang.

“Tak bolehlah macam itu, sebab itu sekarang ini (kunci mulut) seorang pun tak berani nak cakap, bisu semua, semua sudah kena penampar bisu,” katanya. – MalaysiaGazette