Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan kepada umum berhubung kenaikan harga telur yang dijangka naik penghujung bulan ini.

Ditanya mengenai perkara itu, Perdana Menteri berkata, perkara itu harus ditanya kepada menteri berkenaan.

“Tanya menteri pertanian,” katanya ringkas kepada media ketika ditanya mengenai perkara itu ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Jami’ul Huda dekat Ampang, hari ini.

Terdahulu hari ini, MIDF Research menerusi nota penyelidikannya memaklumkan, harga barang keperluan asas itu berpotensi meningkat dalam masa terdekat ini berikutan bekalan sumber makanan itu yang terhad di Malaysia.

Penganalisis yang membuat kajian itu memberitahu, selain bekalan terhad di peringkat domestik, penularan selesema burung global telah menyebabkan bekalan telur di negara lain turut berkurangan, sekali gus berpotensi menjadikan harga telur import menjadi lebih mahal di Malaysia.

Pada April lalu, harga purata bagi ayam adalah RM10.45 sekilogram, manakala harga telur gred A adalah 47 sen sebiji, gred B (45 sen sebiji) dan gred C (44 sen sebiji).

MIDF turut percaya bahawa, pengapungan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak selepas kawalan harga ditamatkan, namun, harga telur mungkin meningkat disebabkan bekalan yang terhad di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sebelum ini, Mohamad mengumumkan bahawa bermula 1 Julai ini, harga ayam dan telur tidak lagi disubsidi, sebaliknya akan diapungkan.

Penamatan itu adalah membolehkan kementerian menilai serta mengawal harga barangan sama ada naik atau turun, berbanding harga siling runcit ketika ini.

Bagi memastikan bekalan ayam dan telur dapat distabilkan selepas subsidi berakhir, kementerian melaksanakan mekanisme bertahap.

Antara yang dilaksanakan ialah memansuhkan sekatan eksport ayam pedaging hidup, ayam bulat, dan keratan ayam sepenuhnya bermula 1 Julai ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini Exco Srikandi Bersatu (Bersatu) Malaysia, Nor Azah Abdul Aziz, berkata, keputusan kerajaan berhubung ketiadaan subsidi bagi ayam dan telur bermula 1 Julai ini hanya akan menyebabkan harga bekalan makanan itu tidak stabil.

Malah katanya, ia sekaligus menafikan hak golongan B40 untuk mendapatkan keperluan asas tersebut pada harga yang sewajarnya.

Beliau mempersoalkan, adakah itu pencapaian dengan formula yang digarap selepas tujuh bulan Kerajaan Perpaduan caturan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memerintah.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun sebelum itu menikmati makan tenghari di sebuah restoran bersama pemimpin masyarakt di sini.

Beliau disajikan menu kari kepala ikan dan beberapa makanan lain yang popular di restoran berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast