Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka menyaksikan dagangan berhati-hati pada minggu depan menjelang keputusan mengenai kadar faedah di Amerika Syarikat pada Rabu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, pelabur tempatan akan turut memantau langkah-langkah rangsangan China untuk membantu memulihkan keyakinan pelabur.

“Walaupun prospek lembap untuk China, saya berpendapat ASEAN dan Asia Selatan mempunyai prospek jangka panjang yang lebih baik untuk hala tuju pendapatan. Malaysia adalah pendedahan pilihan berdasarkan penilaian permulaan yang rendah di bahagian kita di Asia Pasifik.

“Saya dapat melihat Malaysia mengambil sebahagian daripada aliran masuk Jepun apabila rantaian bekalan Amerika Syarikat dan Barat beralih dari China ke bekalan ASEAN lain.

“Saya turut berpendapat Malaysia dapat menarik perhatian dan apabila kita mendapat kejelasan mengenai dasar Rizab Persekutuan AS dan ringgit menjadi lebih kukuh, kita boleh menjangka lebih banyak aliran masuk,” katanya kepada Bernama.

Berdasarkan prestasi bursa tempatan pada Jumaat, Innes berkata indeks FBM KLCI dijangka menguji paras 1,385 pada minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng turut menjangka dagangan berhati-hati pada minggu depan walaupun mungkin terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah.

“Kami menjangka pasaran tempatan berada pada kedudukan lebihan jualan, sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul saham pada paras yang menarik berdasarkan penilaian mereka yang lebih murah.

“Kami menjangka FBM KLCI kekal dalam sentimen konsolidasi pada minggu depan dan diniagakan antara 1,375 dan 1,390 mata,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI merosot 5.18 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,376.08 daripada 1,381.26 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 55.19 mata kepada 10,151.98, Indeks FBMT 100 susut 58.58 mata kepada 9,849.87 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 108.80 mata kepada 10,482.06.

Indeks FBM 70 berkurangan 168.81 mata kepada 13,435.83 dan Indeks FBM ACE merosot 19.43 mata kepada 5,050.83.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.01 mata kepada 15,139.96 dan Indeks Perladangan meningkat 62.08 mata kepada 6,686.64. Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.87 mata kepada 157.91 dan Indeks Tenaga merosot 19.98 mata kepada 791.30.

Bagi minggu dagangan yang pendek yang baru berakhir, jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.70 bilion unit bernilai RM6.75 bilion daripada 15.20 bilion unit bernilai RM12.90 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.20 bilion saham bernilai RM5.71 bilion daripada 10.20 bilion saham bernilai RM11.50 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.44 bilion unit bernilai RM203.22 juta daripada 1.42 bilion unit bernilai RM188.45 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 3.06 bilion saham bernilai RM831.53 juta daripada 3.57 bilion saham bernilai RM1.21 bilion minggu lepas. – BERNAMA