Reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada pementasan Teater "Cikgu Anda" di Hotel Grand Barakah, Ampang. Foto MUHD NA’IM, 10 JUN 2023.

AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan menggunakan sistem perundangan negara untuk membalas dendam terhadap seterunya.

Sebaliknya beliau menegaskan sentiasa menghormati perundangan dalam negara termasuklah tidak mencampuri tugas-tugas Peguam Negara dan hakim.

“Kalau benar saya dendam sudah ramai yang terpelosok ke Penjara Sungai Buloh, tetapi saya tahu perlunya kita pertahan prinsip keluhuran undang-undang.

“Siapa yang mahu disiasat, didakwa itu bukan kuasa saya, kuasa saya terhad kelada pengarahan terhadap institusi kehakiman menjalankan tugas mereka.

“Saya tidak boleh mengarahkan Peguam Negara mendakwa kerana pendakwaan itu mesti mempunyai fakta yang begitu kuat,” katanya ketika berucap selepas tayangan teater ‘Cikgu Anda’.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama barisan para pelakon selepas pementasan Teater “Cikgu Anda” di Hotel Grand Barakah, Ampang. Foto MUHD NA’IM, 10 JUN 2023.

Anwar berkata, sudah sampai masanya tata kelola dan pentadbiran negara ini dibersihkan tanpa wujudnya unsur negatif.

Sehubungan itu katanya, mutu pendidikan perlu ditingkatkan berasaskan nilai dan akhlak.

“Keghairan kita dalam tingkatkan mutu penguasaan bahasa lain itu meninggalkan aspek yang penting mendidik bukan hanya melatih.Pendidikan itu sudah tentu berdasarkan kekuatan nilai,” tambah Anwar.

Sementara itu, beliau berkata politik dalam negara perlu  terhindar daripada  adu domba dan merendahkan martabat pihak lain.

Ujar beliau, mencari kelemahan pihak lain merupakan politik tidak matang.

“Politik itu penting saya juga mengasaskan dan memimpin parti politik dan antara parti yang bergabung, tetapi jangan politik itu adu domba yang kurang siuman, bukan jadikan kita untuk rendahkan martabatkan manusia,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette