Kilang pembuatan pasu bunga di Ijok Jalan Harmoni Bestari Jaya terbakar dalam kebakaran awal pagi tadi. - Gambar ihsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Sebuah kilang pembuatan dan pengeluaran pasu bunga di Jalan Harmoni Kampung Ijok, Bestari Jaya dekat sini terbakar awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya  menerima panggilan kecemasan memaklumkan mengenai kebakaran tersebut lebih kurang 4.07 pagi.

“Bertindak atas panggilan awam itu, sepasukan anggota bomba seramai 18 orang dan seorang pegawai bersama empat buah jentera pemadam dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Kota Anggerik, Kuala Selangor dan Bestari Jaya telah bergegas ke lokasi.

Kilang pembuatan pasu bunga di Ijok Jalan Harmoni Bestari Jaya terbakar dalam kebakaran awal pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

“Setelah tiba di lokasi pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang membuat pasu bunga berkeluasan 100 x 300 kaki persegi, jenis bangunan struktur terbuka kelas C melibatkan kemusnahan 30 peratus daripada keluasan keseluruhan bangunan,” katanya dalam kenyataan pagi ini.

Tambah Wan Md Razali Wan, dalam kebakaran itu tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada mangsa semasa kejadian di dalam bangunan terbakar itu.

“Usaha memadam kebakaran itu dipergiatkan sebelum kebakaran berjaya dikawal  4.16 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 5.10 pagi.

“Pasukan bomba masih meneruskan kerja-kerja overhaul di lokasi kebakaran,” katanya lagi.- MalaysiaGazette