KUALA LUMPUR – Cadangan UMNO untuk memanggil semula pemimpin parti berpengaruh yang dipecat dan digantung bagi memperkasa kembali parti itu ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) satu langkah positif.
Menurut Saintis Politik Universiti Sunway, Prof Wang Chin Huat, hakikatnya UMNO perlu menyedari bukan PRN enam negeri atau parti Perikatan Nasional (PN) yang perlu dibimbangkan sebaliknya perlu sokongan serta pengundi atas pagar pada ketika ini.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, kata Chin Huat, ramai penyokong dan pengundi UMNO atas pagar kini berputus asa dengan parti kerana perubahan diharapkan selepas dua kekalahan besar pada Pilihan Raya Umum (PRU) tidak juga berlaku.
“Ramai berharap akan adanya perubahan namun walaupun dua PRU tidak ada apa diharapkan mereka. Tambah pula dengan penyingkiran pemimpin-pemimpin penting yang bersuara dan kritikal terhadap pimpinan parti itu,” katanya.
Semalam Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh yang mahu pimpinan tertinggi ‘mengembalikan’ pemimpin yang telah dipinggirkan dan dipecat kembali memperkasa parti itu ketika menjelangnya PRN.
Kata Chin Huat lagi, UMNO juga perlu menghantar isyarat jelas kepada akar umbi yang tidak berpuas dengan kepimpinan parti sebelum ini.
“Janganlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kepada pemimpin-pemimpin yang tersingkir pula, tidak perlu bakar rumah sampai tiada jambatan untuk kembali semula.
“Usah lupa, politik tanah air ketika ini sentiasa berubah dan tidak ada apa pun yang mustahil,” tegasnya. – MalaysiaGazette