KUALA LUMPUR – Penari klasik tarian India, Bharata Natyam yang juga pelopor sekolah Tari Sri Ganesalaya, Dr Sri Ganesan selama lebih tiga dekad meninggal dunia di Bhubaneswar, India ketika sebuah program tarian kelmarin akibat serangan jantung secara tiba-tiba.
MalaysiaGazette difahamkan, mendiang yang juga merupakan Presiden Persatuan Bharatha Natya Malaysia itu sebenarnya rebah di pentas ketika hendak menerima Anugerah Antarabangsa Sri Jayadev pada Festival Tarian Sri Jayadev Rastriya Samaroh.
Menurut salah seorang anak muridnya yang juga bekas Ahli Dewan Negara, Usha Nandhini Jayaram, berita itu mengejutkan dan ia satu kehilangan yang amat besar buat negara khasnya dalam industri tarian klasik.
“Selepas menyalakan lampu pelita di atas pentas, beliau tiba-tiba jatuh akibat serangan sakit jantung dan dikejarkan ke hospital namun sudah disahkan meninggal dunia. Dedikasi dan komitmen beliau dalam mempelopori tarian klasik ini tidak mudah untuk kita utarakan melalui kata-kata.
“Kehilangan mendiang sememangnya satu impak cukup besar. Setakat ini puluhan ribu pelajar termasuk saya telah beliau latih dan menjadi penari bukan sahaja di negara ini sebaliknya seluruh dunia seperti UK, Australia malah India juga.
“Dr Sri Ganesan telah menghasilkan banyak drama tarian, pertunjukan ‘arangetram’ serta ‘salangai poojai’ di seluruh dunia malah untuk pengetahuan umum, beliau telah diberikan 34 anugerah khas dari pelbagai negara setakat ini. Dedikasinya dalam memelihara keaslian ‘Gaya Tari Valluvur Kuno’ dalam koreografinya.
“Insan ini juga yang bertanggungjawab dalam mempelopori beratus-ratus sekolah tarian di Malaysia dan membawa pelbagai penari terkenal ke pentas di Malaysia. Kita amat merasai kehilangan beliau, semoga roh beliau tenang dan aman di sana,” katanya.
Usha yang juga mantan Ketua Wanita MIC Kebangsaan berkata, jasad mendiang yang berasal dari Teluk Intan, Perak akan di bawa pulang mengikut beberapa prosedur ditetapkan di India sebelum di bawa ke Malaysia bagi tujuan pengembumian mengikut ritual Hindu.-MalaysiaGazette