Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan kebimbangan terhadap isu-isu yang membelenggu masyarakat India di negara ini.

Beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu menyelesaikannya ketika era pentadbiran beliau.

Antara yang telah dikemukakan Vigneswaran yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Negara adalah isu berkaitan pengambilan pelajar India ke dalam program matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) dan berharap ada peningkatan bilangan kerusi daripada 1,000 kepada sekurang-kurangnya 2,5000 buat komuniti itu.

“Untuk mencapai sasaran ini, MIC menawarkan kolej TAFE pada harga RM 1 sebagai sewaan kepada KPM bagi membolehkan pihak kementerian memulakan kelas tanpa melibatkan perbelanjaan pembangunan. Ini amat penting terutamanya dalam mencorakkan masa depan anak-anak kita kelak.

“Selain itu, saya juga amat berharap Perdana Menteri dapat melihat pelaksanaan Malaysia India Blueprint (MIB) yang sudah tergendala sejak empat tahun lepas walhal ianya sudah berada di peringkat akhir pelaksanaannya ketika itu sebelum PRU-14.

“MIB ini merupakan salah satu kejayaan nyata dalam pembangunan dasar negara untuk masyarakat India, perlaksaan MIB ini akan memastikan masyarakat India menjadi sebahagian daripada dan sekali gus terlibat secara langsung dalam arus perdana pembangunan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berucap pada majlis Hala Tuju Pembangunan Pendidikan dan Masa Depan Masyarakat India ketika di Shah Alam Convention Centre (SACC), Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2023.

Sambung Vigneswaran, kerajaan sebelum ini juga telah merangka deraf Pelan Tindakan Masyarakat India dalam usaha perlaksanaan inisiatif-inisiatif dalam MIB yang menggariskan pelbagai program bagi meningkatkan kualiti hidup kaum ini terutamanya dalam masa lima tahun akan datang.

Untuk itu, pihaknya telah mengambil inisiatif menubuhkan Majlis Perundingan atau Consultative Council (ICC) yang terdiri daripada wakil-wakil daripada semua parti-parti politik dan pemain industri termasuk sektor ekonomi serta sosial.

“Setelah sembilan bulan, kita berjaya merangka lapan teras dengan 45 inisiatif hasil buah fikiran pelbagai pihak bagi terus memperkasa dan membangunkan masyarakat India di negara dengan pengagihan sosioekonomi yang adil, saksama dan inklusif.

“Antara tumpuan kita ketika itu termasuklah meningkatkan ekuiti dari 1.5 peratus kepada 3 peratus, malang sekali selepas 10 tahun pegangan ekuiti kita turun daripada 1.5 peratus kepada 1.2 peratus. Kita mohon sangat kerajaan Perpaduan komited dalam pastikan sasaran pemilikan ekuiti sebanyak tiga peratus ini.

“Kita juga mohon supaya Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED) diwujudkan kembali supaya menggalakkan belia masyarakat kami menyertai bidang perniagaan,” ujarnya.

Vigneswaran juga memohon supaya isu kekurangan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sehingga kemungkinan ada antaranya akan ditutup dapat diselesaikan dengan pendekatan lebih baik.

“Soal pendidikan Bahasa Tamil yang telah bermula di negara ini sejak tahun 1816 dan selepas lebih 200 tahun, institusi SJKT ini merupakan satu satunya institusi yang menjadi pusat berkembangan bahasa, bangsa dan kebudayaan Tamil di negara kita.

“Kita akur penyelesaian kepada kekurangan murid di SJKT bukanya mudah. Salah satu kaedah penyelesaian yang dicadangkan adalah SJKT daripada kawasan luar bandar di mana bilangan penduduk India telah berkurangan, dipindahkan ke kawasan bandar di mana kepadatan populasi mereka adalah tinggi.

“Kaedah penyelesaian ini hanya akan berjaya dengan ‘kesungguhan politik’ kerajaan kerana ia melibatkan pengenalan tanah, perolehan tanah, kelulusan KPM, dana bangunan, dana peralatan dan sebagainya. Kita juga boleh harap adanya penubuhan satu badan khas melibatkan KPM, pemegang taruh SJKT dan badan- badan politik dan NGO dari masyarakat India,” ujarnya.

Vigneswaran juga melahirkan harapan supaya dana-dana unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) atau  SEDIC (Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India) yang telah dipulangkan kembali kira-kira RM400 juta daripada RM100 juta diperuntuk setiap tahun kepada kerajaan kembali akibat pelbagai kekangan.

“Kita pulangkan dana-dana tersebut ketika itu kerana ia tidak diguna pakai oleh Mitra setelah tidak dapat mematuhi prosedur kewangan yang sedia ada, kita harap dana itu diberikan kembali supaya kita dapat terus memperkasa komuniti. Dana itu boleh diletakkan dalam sebuah Yayasan serta diselia oleh PMO sendiri,” katanya. -MalaysiaGazette