Foto BBC.

RIYADH – Bekas penyerang sensasi Real Madrid, Karim Benzema mendedahkan faktor utama dia menyertai Al Ittihad di Liga Pro Saudi kerana Arab Saudi merupakan sebuah negara Islam.

Malah Benzema menafikan dia menyertai kelab itu kerana motivasi wang sebagai perkara utama dan sebaliknya dia ada misi peribadi untuk dirinya dari segi kerohanian.

Benzem yang menerima kontrak €200 juta semusim selama tiga tahun di Arab Saudi diperkenalkan dalam satu majlis yang sarat dengan kehadiran 60,000 penyokong.

Pemain antarabangsa Perancis itu memberitahu Arab Saudi adalah negara Islam dan sebagai seorang muslim, dia sentiasa memiliki impian tinggal di sini

“Sebagai seorang muslim yang taat saya juga mahu mendalami lagi bahasa Arab, dan ianya sangat penting untuk saya.Saya pernah beberapa kali ke sini dan Mekah pun dekat sekarang ini,” katanya.

Bercakap tentang kelab Al Ittihad, Benzema menganggap pilihannya tepat kerana dia menyertai kelab paling besar di Arab Saudi.

“Ini adalah kelab terbesar di Arab Saudi dan penyokong kelab ini sangat bersemangat menyokong kelab ini. Saya akan cuba menunjukkan prestasi terbaik saya demi peminat,” katanya.

Karim Benzema juga kagum dengan bola sepak di Arab Saudi secara keseluruhannya.

Benzema akhirnya bermain di liga yang sama dengan rakan baiknya Cristiano Ronaldo.

Beberapa nama lain turut dikaitkan dengan Liga Pro Saudi antaranya N’golo Kante yang dilaporkan sedang berunding dengan Al Ittihad.

Benzema yang juga pemenang Ballon d’Or, telah meninggalkan legasi yang luar biasa di Real Madrid namun dia terlepas saingan Piala Dunia 2022 kerana kecederaan.

Kelab itu sedang mencari pengganti Benzema dan nama Harry Kane antara yang disebut sebut bakal dibawa masuk. – Agensi