AiI
Rafizi (enam dari kanan) bersama wakil-wakil syarikat yang menyertai program perintis AiI di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan sebanyak 200 syarikat akan menyertaikan program Akademi dalam Industri (AiI) bagi melatih seramai 20,000 pekerja tempatan berkemahiran sehingga akhir tahun ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, buat permulaan, sebanyak 10 syarikat bersedia untuk menyertai program perintis yang dijadualkan bermula kira-kira dua minggu lagi.

Menurut beliau, di bawah program tersebut, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih oleh syarikat-syarikat berkenaan selama 18 bulan dan mereka akan beroleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1.

“Kaedah ini lebih menarik pada masa ini buat anak muda lepasan sekolah kerana daripada mereka pergi ke institusi pengajian tinggi kemudian belajar dua tiga tahun baru nak menyertai sektor pekerjaan.

“Dia boleh masuk terus ke sektor pekerjaan terus belajar dan akan dapat sijil, itu sebenarnya lebih sesuai dengan citarasa generasi masa sekarang,” katanya.

Rafizi berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Strategik Menteri Ekonomi bersama Rakan Strategik AiI di sini hari ini.

Beliau menambah, kerajaan akan memberi beberapa insentif seperti pemindahan lokasi dan tamat latihan kepada para pelajar di bawah AiI manakala butiran lanjut bakal diumumkan pada pelancarannya program itu beberapa minggu lagi.

Rafizi berkata, syarikat-syarikat yang terlibat dalam program perintis AiI adalah dari industri perkilangan automotif, semikonduktor, makanan, aeroangkasa, minyak sawit dan sebuah syarikat multinasional (MNC).

Beliau memberitahu, syarikat yang berminat untuk menyertai AiI perlu mendapatkan pensijilan terlebih dahulu.

“Kerajaan kena pastikan latihan itu bertepatan dengan silibus, rancangan kerja bertepatan dengan pensijilan dan mereka ada tenaga kerja untuk melatih pelajar-pelajar ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast