nggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakukan persiapan untuk Operasi Pembenihan Awan ketika di Pangkalan TUDM, Subang. Foto MOHD ADZLAN, 12 JUN 2023.

SUBANG – Sebanyak enam sungai berpotensi untuk pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) seterusnya.

Enam sungai tersebut adalah Sungai Muda, Sungai Kedah, Sungai Melaka, Sungai Kelantan, Sungai Klang dan Sungai Similajau.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata,langkah berkenaan bergantung kepada hasil penilaian semasa yang dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia).

“Kita juga pertimbangkan kajian teknikal untuk laksanakan OPA di kawasan-kawasan sungai selain empangan setakat Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) jangka enam sungai sasaran,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, beliau hadir di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM), Subang bagi OPA Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang yang dilaksanakan hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Jelas Armizan, OPA yang dilaksanakan merupakan tindakan proaktif dan serampang dua mata yang digerakkan demi menangani impak fenomena cuaca panas dan kering semasa Monsun Barat Daya (MBD) dalam masa yang sama membantu sektor pertanian agar dapat bertahan memastikan produktiviti tanaman tidak terjejas.

“Objektifnya pertama selain memastikan empangan mempunyai air yang cukup dalam masa yang sama memastikan kita dapat membantu pelan mitigasi dalam menangani impak sektor pertanian.

“Untuk elakkan gangguan bekalan air dan untuk bantu sektor pertanian yang terkesan rejim cuaca Monsun Barat Daya yang membawa keadaan panas dan kering dan menyebabkan kurangnya taburan hujan di kawasan-kawasan yang terlibat,” ujar beliau.

Setakat 12 Jun 2023, kapasiti air di Empangan Air Itam adalah sebanyak 48.6 peratus manakala 44.4 peratus bagi Empangan Teluk Bahang.

Tambah beliau, Pulau Pinang berjaya menghasilkan 100 peratus hujan di kawasan yang disasarkan selepas OPA yang pertama kali pada tahun ini digerakkan 2 Mei lalu.

“Kali ini kebarangkalian hujan adalah 80 peratus,” katanya.

Menerusi OPA yang bermula tiga hari sejak semalam di dua empangan tersebut, sebanyak empat tangki yang mengandungi 800 Kilogram (kg) garam dan 6,000 liter air dibawa oleh pesawat C-130 Hercules milik TUDM dan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang hari ini.

Sementara itu Armizan berkata, kos pelaksanaan OPA adalah berdasarkan hasil perbincangan dengan kerajaan negeri yang membuat permohonan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan METMalaysia. – MalaysiaGazette