tanah Melayu Apandi Perlembagaan
Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Keghairahan orang Melayu pada zaman dahulu menjual tanah milik mereka kepada kaum-kaum lain telah menyebabkan pegangan mereka di negeri-negeri yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu kini menjadi amat kecil.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun kaum-kaum asing ketika era penjajahan British tiada kuasa politik, mereka menguasai ekonomi dan kekayaan yang dapat mempengaruhi politik negara.

Menurut beliau, di Tanah Melayu tidak ada sekatan terhadap siapa sahaja dalam pemilikan tanah dan setelah menjadi kaya, banyak tanah yang dibeli oleh puak pendatang dan keturunan mereka.

“Menjual tanah menjadi punca pendapatan orang Melayu. Tanah, jika tidak dijual akan kekal selama-lamanya.

“Tetapi jika dijual, duit yang didapati tidak kekal. Duit akan habis apabila dibelanja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menambah, apabila tanah dijual dan duit yang didapati habis dibelanja, penjual tanah akan jadi lebih miskin.

Beliau memberitahu, tiada yang boleh dijual selain dari tenaga yang ada di tubuh badan.

“Pilihan yang ada pada orang yang miskin ialah dengan menjual tenaga sebagai pekerja buruh atau menjadi pengemis yang meminta-minta,” jelasnya.

Dr Mahathir berkata, kehidupan di dunia tentu amat menekan jika mereka tidak sanggup bekerja dan memilih untuk menjadi pengemis.

“Tak perlulah dijelas apa nasib pengemis. Agak terlalu lewat untuk mengembalikan tanah yang dahulu dimiliki oleh orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.